Lega dapat pulang, Manuel Ott sasar bawa Sang Penyu ke 'top 3' Liga Super


  • Podium
  • Ahad, 24 Mac 2024

Manuel Ott meletakkan cita-cita besar selepas sah mengumumkan kepulangannya dalam skuad Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC

DEMI menghidupkan peluang beraksi lebih baik musim depan, Terengganu FC melakukan perbelanjaan besar-besaran pada jendela perpindahan kali ini.

Kemasukan Akhyar Rashid dan Safawi Rasid pasti menjadi tumpuan kelab Pantai Timur itu melihat kepada pengalaman dan prestasi mereka beberapa tahun kebelakangan ini.

Selain itu, benteng pertahanan skuad Sang Penyu turut diperkuatkan dengan kehadiran bek tengah berdarah Belanda, Matthew Steenvoorden yang pernah beraksi di benua Eropah.

Bagaimanapun, satu perpindahan yang memecahkan pendapat penyokong adalah apabila Terengganu FC membuat keputusan mendapatkan semula pemain tengah, Manuel Ott.

Dia yang beraksi buat skuad Sang Penyu pada 2022 memilih untuk menyertai Kedah Darul Aman (KDA) FC bersama bekas pengendali kelab Pantai Timur berkenaan, Nafuzi Zain.

BACA LAGI: Tidak lagi bersama Sang Kenari, peluang Terengganu sambar Manuel Ott makin cerah

2254181

Manuel Ott (kiri) diberikan peranan kapten Sang Kenari musim lalu. Facebook/KDA FC

Pemergiannya itu menyebabkan rata-rata penyokong kurang senang dengan keputusan mendapatkan semula khidmatnya bagi saingan akan datang.

Tetapi, pemain kebangsaan Filipina tersebut seakan-akan tidak mahu mengambil berat akan isu terbabit apabila mahu fokus dalam membantu pasukannya musim depan.

"Saya gembira kerana dapat pulang ke sini dan melihat wajah-wajah yang dikenali. Saya sudah tidak sabar untuk kembali pulang ke atas padang.

"Kami memiliki ramai pemain berkualiti dan saya percaya kami mampu menamatkan saingan Liga Super dalam kelompok tiga teratas," katanya.

Musim lalu, di bawah kendalian Tomislav Steinbruckner, Terengganu FC berada di tangga keenam liga, namun masih berjaya menempah slot dalam perlawanan akhir Piala Malaysia.

BACA LAGI: Berjaya ikat JDT, game terbaik Kedah musim ini — Manuel Ott

2584664

Manuel Ott hanya beraksi semusim bersama skuad Sang Penyu sebelum berkelana ke Utara tanah air. Facebook/Terengganu FC

Di pentas Asia pula, skuad Sang Penyu hanya menamatkan saingan di peringkat kumpulan dengan pencapaian terbabit boleh dianggap mengecewakan.

Namun, sekiranya dibandingkan dengan kualiti semasa pasukan, mereka berpotensi meraih lebih banyak kejayaan di pentas domestik.

Tambah Ott lagi, misi besar diletakkan dalam musim keduanya bersama Terengganu FC selepas menjadi tonggak utama dua tahun lalu.

"Kami merekodkan satu musim yang cukup bermakna ketika saya berada di sini dengan muncul naib juara Liga Super dan mara ke pentas akhir Piala FA. Saya mahu mengulanginya di samping bercita-cita memenanginya kali ini," ujarnya lagi. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram