Malaysia boleh kembali ke 130 terbaik dunia jika tumpaskan Oman


  • Podium
  • Khamis, 21 Mac 2024

Malaysia boleh kembali ke kelompok 130 terbaik dunia jika berjaya kalahkan Oman. — FAM

SELEPAS tidak mempunyai kempen yang diangankan ketika dalam saingan Piala Asia 2023, kedudukan skuad Harimau Malaya nyata terganggu dari segi kedudukan ranking FIFA.

Malaysia yang tiba di Qatar dengan kedudukan ke-130 menerima dua kekalahan selepas tumpas kepada Jordan dan Bahrain. Rekod itu nyata menganggu kutipan mata ranking Harimau Malaya.

Namun begitu, Malaysia berjaya mencuri sejumlah mata selepas berjaya merekodkan keputusan seri berdepan Korea Selatan pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan. Disebabkan itu, Malaysia cuma turun dua anak tangga ke kedudukan 132 dunia selepas kempen Piala Asia.

Kini kembali ke kancah kompetitif selepas Piala Asia, Malaysia berpeluang untuk kembali semula ke kelompok 130 pasukan terbaik dunia apabila berdepan Oman.

Bakal menentang Oman dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, keputusan positif amat diharapkan oleh para penyokong Harimau Malaya walaupun menyedari untuk menewaskan mereka adalah sukar terutamanya di tempat lawan.

BACA LAGI: Harimau Malaya diharap tak buat kesilapan mudah, bolos gol awal

432444935_1115516046188297_1867211235535918770_n

La'Vere Corbin-Ong (kiri) dan Dion Cools (kanan) boleh menjadi punca Oman gagal jaringkan gol bertemu Malaysia. — FAM

BACA LAGI: [VIDEO] Kena seru nama Syihan Hazmi dulu baru bintang Singapura boleh 'score' gol

Akan tetapi, ganjaran yang bakal menanti sekiranya berjaya menewaskan Oman pastinya menarik untuk digapai Harimau Malaya apabila mereka boleh kembali semula ke kelompok 130 terbaik dunia.

Memetik perkongsian Makan Bola, Malaysia boleh mendapatkan kutipan mata setinggi 16.98 sekiranya berjaya mencipta kejutan menewaskan Oman.

Penambahan mata tersebut akan membuatkan Malaysia yang kini mengumpul 1110.17 mata menjadi 1127.15 mata.

Jika jumlah mata itu berjaya diraih, ia akan membuatkan Malaysia berjaya melompat sehingga ke tangga 129 dunia sambil memintas negara-negara seperti Kepulauan Solomon, Gambia dan Republik Afrika Tengah.

Namun, Malaysia cuma mampu untuk mendekatkan diri dengan Niger yang menduduki tempat ke-128 dunia kerana negara Afrika itu mempunyai mata sebanyak 1127.75.

Asas kepada kenaikan mata ranking ini adalah disebabkan negara-negara yang berada di depan Malaysia semuanya tidak terlibat dengan perlawanan kelayakan Piala Dunia di benua masing-masing.

Oleh itu, jika kemenangan di Muscat dan Kuala Lumpur berjaya diperoleh, Malaysia boleh melompat lebih tinggi dalam ranking FIFA yang dikemaskini pada 4 April kelak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram