Bukan Nurullaev, ini sejarah pemain termahal pernah sertai Kedah, JDT dan Perak


  • Podium
  • Jumaat, 15 Mac 2024

Selain Kedah, Nurullaev sebelum ini hanya beraksi di Uzbekistan. — Facebook/KDAFC

KANTUNG kewangan Kedah Darul Aman (KDA) FC dijangka semakin stabil apabila sudah menandatangani beberapa pemain tempatan dan seorang bintang import dari Uzbekistan, Sukhrob Nurullaev.

Empat pemain tempatan yang sudah dibawa masuk pasukan Hijau Kuning ialah Rizal Ghazali, Irfan Zakaria dan Zamri Pin Ramli bagi memperkukuhkan benteng pertahanan serta penyerang pinjaman dari Johor Darul Ta'zim (JDT), Syafiq Ahmad.

Apa yang menarik mengenai kemasukan Nurullaev ialah Kedah difahamkan sanggup membayar kelab Uzbekistan, Nasaf Qarshi sebanyak 100,000 euro (RM513,104) untuk menebus kontrak pemain berusia 26 tahun itu.

Jumlah wang yang agak besar itu membuatkan ramai penyokong berspekulasi bahawa kewangan pasukan Utara tanah air berkenaan semakin pulih dan dijangka sudah membayar semua tunggakan gaji sebelum ini.

Bercakap mengenai kesanggupan kelab seperti Kedah untuk menebus kontrak pemain ibarat Nurullaev, sejarah Liga Malaysia (Liga M) pernah menyaksikan situasi sedemikian berlaku sebenarnya.

Nilai yuran perpindahan Nurullaev yang mencecah setengah juta bukanlah tertinggi dalam saingan domestik kerana kelab seperti JDT dan Perak sebelum ini pernah membuat perkara sama bagi memperkuatkan pasukan.

Oleh itu, Majoriti menyoroti tiga sejarah perpindahan dengan yuran termahal yang pernah direkodkan dalam saingan Liga M:

BACA LAGI: Pengganti Hidalgo sudah ditemui, Kedah ambil pemain sayap Uzbekistan

1) Diogo ke JDT

DIOGO

Diogo ketika menyertai JDT pada musim 2019. — Facebook/JDT

Penyerang Brazil, Diogo yang sudah mengakhiri karier profesionalnya di JDT pada akhir musim lepas merupakan pemain dengan yuran perpindahan termahal Liga M dengan merekodkan sebanyak 1.37 juta euro (RM7 juta).

Perpindahan berkenaan ketika Diogo menyertai kelab juara bertahan Liga Super itu pada saingan 2018/2019 apabila JDT sanggup mengeluarkan wang yang banyak untuk merekrutnya dari Buriram United ketika itu.

Pengorbanan wang ringgit JDT berbaloi apabila pemain yang kini berusia 36 tahun itu berhasil menjaringkan 16 gol selepas membuat 32 penampilan bersama skuad Harimau Selatan.

Selepas meninggalkan Harimau Selatan pada 2019, pemain kelahiran kelahiran Sao Paulo, Brazil itu sekali lagi dilamar JDT bagi membantu kelab tersebut mengharungi kempen Liga M musim lepas.

Selain Diogo, JDT juga berbelanja besar untuk membawa masuk Juan Martin Lucero (RM6.7 juta), Jou Silva (RM4 juta), Jonathan Herrera (RM3.7 juta), Fernando Marquez (RM2.6 juta) dan Natxo Insa serta Bergson dengan yuran perpindahan bernilai RM2 juta.

2) Kpah Sherman ke KDA FC

KPAH

Kpah beraksi selama dua musim bersama Kedah. — Facebook/KDAFC

Selepas tujuh bekas tonggak JDT menghiasi kedudukan carta pemain dengan yuran perpindahan, Kedah Darul Aman (KDA) FC juga pernah membawa masuk seorang lagi bintang yang melebihi harga Nurullaev.

Pada saingan musim 2020, pasukan Hijau Kuning berazam untuk menjadi pencabar Liga Super dan mahu bersaing di peringkat Piala AFC sehingga sanggup membayar mahal yuran perpindahan Kpah Sherman dari PKNS FC.

Difahamkan, kelab Utara tanah air berkenaan membayar sekitar 360,000 euro (RM1.8 juta) kepada PKNS untuk memiliki pemain kelahiran Liberia berkenaan bagi membantu memperkuatkan bahagian serangan mereka.

Sepanjang beraksi bersama Kedah selama dua tahun, pemain yang kini beraksi bersama Sri Pahang itu berhasil mencetak 19 jaringan dan membantu Kedah menjadi naib johan pada musim 2021.

BACA LAGI: Perlis United tak jadi sertai Liga Super?

3) Nazrin Nawi ke Perak FC

NAZRIN

Nazrin merupakan salah satu penyerang kiri terbaik Liga Super pada musim 2016. — Facebook/PerakFC

Sebelum zaman kejatuhan Perak pada musim 2019, skuad The Bos Gaurus (TBG) merupakan salah satu kelab gergsasi tanah air dengan pernah menjulang Piala FA sebanyak dua kali dan pemenang lapan kali Piala Malaysia.

Bukan hanya prestasi atas padang diberi pujian, kestabilan kewangan skuad Seladang juga bukan calang-calang apabila pernah menebus kontrak pemain Harimau Selatan, Nazrin Nawi pada 2016.

Pasukan TBG difahamkan membayar 159,000 euro ataupun RM810,000 untuk membawa masuk pemain sayap kiri berkenaan ke Perak FC bagi membantu memperkuatkan lagi bahagian serangan mereka.

Selain Nazrin, Perak juga ketika itu merekrut pemain tengah JDT, Jasazrin Jamaluddin dan difahamkan kedua-duanya berjumlah RM1.5 juta. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram