HAJAT Perlis United FC (PUFC) untuk kembali ke saingan tertinggi divisyen tertinggi Liga Malaysia (Liga M) nampaknya kekal angan-angan sahaja apabila difahamkan akan menarik diri daripada menyertai Liga Super.
Memetik laporan Majoriti sebelum ini, pasukan dengan jolokan Singa Utara berkenaan memilih untuk menarik diri kerana masalah kewangan yang menimpa dan dikhuatiri hanya memudaratkan kelab jika bersaing di kancah Liga Super.
Isu ketidakstabilan kewangan mula timbul apabila suntikan dana RM25 juta itu tidak wujud seperti yang dijanjikan sehingga bakal penaja Perlis United difahamkan membuat keputusan untuk menarik diri.
Ia dilaporkan berpunca daripada salah faham akibat surat sokongan yang dikeluarkan oleh Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli yang menyatakan sokongan terhadap kelab tersebut.
Dalam surat sokongannya, Shukri mengatakan sokongan terhadap usaha Perlis United untuk menyertai Liga Super tetapi ia rupanya hanya terhad kepada dorongan secara moral dan bukannya membantu dari segi kewangan.
BACA LAGI: Perlis United tak jadi sertai Liga Super?
MFL enggan mengulas lebih lanjut mengenai status Perlis United. — Facebook/HotIce
BACA LAGI: Ada RM25 juta ke Liga Super, tapi ada yang persoal sumber penaja Perlis United
Tampil mendapatkan kepastian dari pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sama ada Perlis United sudah menghantar surat menarik diri, Stuart Ramalingam selaku pengerusi pengelola domestik itu enggan mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan.
"MFL tidak akan mengulas mengenai artikel kerana ia hanya spekulasi pada masa ini.
"Sebagai badan pengelola Liga dan dengan proses dan prosedur yang sudah dimaklum sebelum ini, MFL akan mengeluarkan kenyataan secara profesional dan rasmi apabila masa yang sesuai," katanya ringkas kepada Majoriti.
Stuart juga berkongsi bahawa pihaknya akan memutuskan kelab pengganti kelab Utara tanah air itu sekiranya Perlis United sah membuat pusingan U dan menarik diri daripada bertanding di Liga Super.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PUFC, Rozailmee Zulkeply dalam satu kenyataan pula menafikan sebarang bentuk dakwaan yang menyatakan bahawa kelab itu tidak jadi bertanding dalam saingan Liga Super musim ini.
"Kami di PUFC menafikan sebarang bentuk kenyataan sebegini (mendakwa PUFC tidak jadi sertai Liga Super).
"Kami juga ingin tegaskan bahawa kami tidak ada sebarang permusuhan bersama Menteri Besar Perlis," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya pada Khamis. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram