Perlis United tak jadi sertai Liga Super?


  • Podium
  • Khamis, 14 Mac 2024

Perlis United dilaporkan menarik diri daripada usaha menyertai Liga Super. — Perlis United

KECOH kancah bola sepak Malaysia apabila kelab Liga M3, Perlis United dikatakan akan menyertai Liga Super untuk menggantikan Kelantan FC yang diturunkan pangkat ke liga bawahan.

Keputusan itu nyata bukan cakap-cakap kerana ia turut disahkan oleh badan penganjur liga, Malaysian Football League (MFL) yang Perlis United bersedia untuk bersaing dengan kelab handalan seperti Johor Darul Ta'zim, Selangor FC dan Terengganu FC.

Akan tetapi, perkhabaran tersebut dijangka akan menjadi mimpi yang tidak kesampaian apabila Perlis United dilaporkan memilih untuk menarik diri daripada menyertai Liga Super.

Menurut sumber dalaman Majoriti, Perlis United dilaporkan memilih untuk melalukan pusingan-u dan menarik diri daripada menyertai Liga Super.

Mereka dilaporkan telah menghantarkan surat kepada pihak MFL dengan menyatakan hasrat untuk menarik diri daripada menjadi kelab Liga Super kerana faktor kewangan.

BACA LAGI: Makin hangat jadi rebutan, Azam Azmi harap dapat bantu Malaysia kalahkan Oman

370373770_615086724105353_9192069351671462731_n

Perlis United dilihat tak jadi sertai Liga Super. — Perlis United

BACA LAGI: Jangan ulangi kesilapan Terengganu, KDN FC tak perlu cabar TRW untuk jadi kelab 'terpaling' Kelantan

Sebelum ini, Perlis United dilaporkan mempunyai sejumlah dana berjumlah RM25 juta untuk bertanding dalam Liga Super. Namun begitu, nilai itu seakan-akan tidak ada kerana faktor penajaan yang satu demi satu menarik diri.

Ia dilaporkan berpunca daripada salah faham akibat surat sokongan yang dikeluarkan oleh Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli yang menyatakan sokongan terhadap kelab tersebut.

Dalam surat sokongannya, Shukri mengatakan sokongan terhadap usaha Perlis United untuk menyertai Liga Super. Namun begitu, sokongan tersebut hanya terhad kepada dorongan secara moral sahaja.

Ia tidak tertakluk kepada sokongan dalam bentuk kewangan oleh pihak Menteri Besar dan kerajaan negeri. Disebabkan itu, penaja-penaja yang dilaporkan akan menyertai kelab tersebut memilih untuk menarik diri.

Akibat tindakan tersebut, ia membuatkan Perlis United kini tidak mempunyai sokongan dari segi kewangan dan itu membuatkan mereka tiada pilihan selain menarik diri.

Majoriti masih menantikan jawapan MFL untuk mengulas mengenai perkara ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram