Makin hangat jadi rebutan, Azam Azmi harap dapat bantu Malaysia kalahkan Oman


  • Podium
  • Khamis, 14 Mac 2024

Azam (kanan) berhasrat mahu ke Oman bersama Harimau Malaya. — FAM

PEMAIN pertahanan skuad kebangsaan, Azam Azmi berdepan situasi tidak menentu buat dirinya menjelang aksi penting kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman.

Ia bukanlah berkaitan situasi kurang bernasib baik seperti kecederaan atau pergantungan, sebaliknya namanya kini menjadi rebutan dua skuad ketika ini.

Nama Azam kini menjadi rebutan untuk digunakan dalam pasukan senior yang bakal berdepan Oman atau skuad bawah 23 tahun (B-23) bagi persiapan Piala Asia B-23 yang akan diadakan di Qatar pada April kelak.

Kedua-duanya memberikan prospek yang berbeza buat Azam, tetapi hati pemain pertahanan kanan itu telah pun ditetapkan. Dia hanya mahu membantu Malaysia menewaskan Oman sekali gus mencerahkan peluang ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia.

"Sasaran saya tahun ini adalah dengan terbang ke Oman bagi membantu Malaysia layak ke pusingan seterusnya.

"Secara peribadinya, saya mahu bermain bersama skuad senior kerana ia adalah tahap yang lebih tinggi untuk menguji tahap kebolehan saya," kata Azam.

BACA LAGI: Jangan ulangi kesilapan Terengganu, KDN FC tak perlu cabar TRW untuk jadi kelab 'terpaling' Kelantan

431902376_1110431563363412_498825308052467989_n

Azam (kanan) jadi rebutan skuad Harimau Malaya dan Harimau Muda. — FAM

BACA LAGI: Terbang ke Johor kuatkan lagi spekulasi Police Tero jadi 'pusat transit' JDT

Walaupun menyimpan hasrat untuk terus kekal dalam skuad kendalian Kim Pan-gon, tetapi Azam mengatakan yang dia terima saja keputusan andai kudrat lebih diperlukan bersama pasukan Juan Torres Garrido.

Pada hemat pemain itu, prospek beraksi di Piala Asia B-23 itu juga membolehkan Azam untuk tetap membantu negaranya walaupun bukan beraksi di tahap tertinggi.

"Akan tetapi, terpulang kepada jurulatih untuk tentukan sama ada saya bersama pasukan senior atau ke skuad B-23. Saya sudah beberapa bulan tidak berlatih selepas musim (lalu) tamat dan kami cuma mempunyai beberapa sesi bersama Terengganu sebelum menyertai kem pasukan kebangsaan.

"Intensiti di sini cukup tinggi dan saya sedang berusaha keras dalam latihan. Saya mahu lakukan yang terbaik bersama skuad B-23 di Piala Asia dan saya tiada isu untuk bermain dengan mana-mana skuad yang memerlukan khidmat saya," ujar Azam. — THE STAR/LIM TEIK HUAT

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram