Bakal ikut jejak abang di JDT, kelab Lembah Klang sambar Zaquan Adha sebagai jurulatih?


  • Podium
  • Rabu, 13 Mac 2024

Zaquan (kanan) difahamkan menerima tawaran menarik daripada salah satu pasukan yang berpangkalan di Lembah Klang. — Facebook/Negeri Sembilan FC

INDUSTRI bola sepak tanah air pastinya terkejut dengan pengumuman yang dibuat oleh pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) apabila melepaskan khidmat bekas penyerang kebangsaan, Zaquan Adha Abd Razak.

Perkara yang dikongsikan di laman rasmi Facebook NSFC tersebut mendedahkan bahawa khidmat penyerang veteran itu bersama skuad Jang telah pun berakhir.

Pastinya, ramai penyokong tanah air menantikan destinasi baharu Zaquan Adha yang pernah bergelar kapten atau ketua pasukan kebangsaan berkenaan.

Dalam pada itu, menerusi perkongsian daripada pemerhati sukan, Zulhelmi Zainal Azam di laman X, Zaquan dilaporkan kini menjadi buruan sebuah kelab yang berpangkalan di Lembah Klang.

Malah, menurut perkongsian tersebut, Zaquan dilaporkan diberi tawaran yang 'menarik' dan pastinya ia membawa maksud tawaran seperti gaji yang tinggi ataupun kenaikan pangkat.

Apa lagi Zaquan juga tidak mustahil boleh mencipta kejutan bersama pasukan Liga M3 dengan bergelar staf kejurulatihan memandangkan pemain itu sudah berusia 36 tahun dan cukup senior untuk membantu mengendalikan sesebuah pasukan bola.

Adakah Zaquan akan senasib seperti abangnya, Aidil Zafuan yang menyertai barisan kejurulatihan Johor Darul Ta'zim (JDT) di bawah kendalian Hector Bidoglio?

Untuk itu, Majoriti menyenaraikan tiga kelab yang mungkin bakal menjadi destinasi terbaharu penyerang berketinggian 1.75 meter.

BACA LAGI: Belum mahu 'gantung but', katanya Zaquan Adha bakal ke Lembah Klang?

WhatsApp Image 2024-03-12 at 13.11.24

Zaquan dilihat berpotensi untuk beraksi bersama KL Rover dalam bidang kejurulatihan. — Facebook/Negeri Sembilan FC

BACA LAGI: [VIDEO] Bekas pengendali Johor dedah tewaskan Gergasi Merah bukan misi balas dendam

1. Selangor FC

Selangor menjadi antara kelab yang dikaitkan Zaquan berikutan pasukan itu berpangkalan di Lembah Klang seperti 'hint' yang diberikan oleh Zulhelmi.

Bagaimanapun, kemungkinan Selangor tidak memerlukan khidmat Zaquan memandangkan daripada berita-berita perpindahan yang hangat diperkatakan ketika ini, tiada khabar angin kedengaran tentang penghijrahan Zaquan ke Gergasi Merah.

Sama ada sebagai pemain penyerang mahupun jurulatih, nama Zaquan sepi di bibir penyokong skuad Merah Kuning tersebut.

Tambahan itu, pengumuman daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berkenaan pengambilan jurulatih seakan-akan mengiyakan bahawa tiada tempat buat pemain tersebut di kelab berkenaan.

Ketika ini, Selangor di bawah jurulatih interim, Nidzam Jamil dikhabarkan akan membawa masuk seorang jurulatih yang berkelas Asia untuk membawa kelab menuju kejayaan di Liga Super dan Piala AFC.

Selain itu, Gergasi Merah juga sudah pun membawa masuk beberapa pemain import iaitu Umar Eshmurodov, Alvin Fortes dan Ronnie Fernandez bagi membantu benteng pertahanan dan jentera serangan skuad The Red Giants.

2. PDRM FC

Selain Selangor FC, PDRM FC antara kelab yang dijangka berpeluang untuk mendapatkan khidmat Zaquan musim depan.

Tidak mustahil, Zaquan mencipta kejutan jika dia berada dalam kapasiti kejurulatihan untuk menggilap bakat-bakat baharu di bahagian serangan lagi-lagi The Cops banyak membariskan pemain muda.

Ia berikutan Zaquan memiliki pengalaman yang cukup luas dalam posisi penyerang sekali gus boleh menurunkan ilmu dan kemahiran kepada prospek-prospek muda.

Kehadiran Zaquan dilihat berpotensi untuk membantu jentera serangan Sang Saka Biru yang sering menggunakan sistem bertahan berbanding menyerang.

3. KL Rovers

Meskipun tidak pernah beraksi dalam saingan Liga M3, namun penyerang berpengalaman seperti Zaquan boleh menabur bakti dan khidmat untuk membantu skuad Kuala Lumpur (KL) Rovers musim depan.

Bagaimanapun, kehadiran bekas penyerang skuad Jang itu dilihat bukanlah sebagai pemain berikutan kecederaan yang dialami tetapi hadir dengan menceburi bidang kejurulatihan.

Untuk Zaquan turun 'level' dari kelab Liga Super ke Liga M3 tidak menjadi masalah utama buat dirinya jika melihat kepada rekod perpindahannya.

Sejak memulakan karier pada 2005 hingga sekarang, dia sudah berkhidmat di sekurang-kurangnya tujuh kelab dalam Liga Malaysia.

Tidak seperti Aidil yang merupakan one-man club, Zaquan dilihat lebih gemar 'berpindah-randah' untuk mendapatkan minit permainan.

Justeru, kehadiran Zaquan ke kelab Liga M3 dijangka mampu mencipta kejutan meskipun KL Rovers tidak pernah beraksi dalam Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram