BINTANG dunia, Cristiano Ronaldo dikecam membuat isyarat lucah selepas membantu Al-Nassr FC meraih kemenangan 3-2 ke atas Al-Shabab dalam aksi Liga Pro Saudi yang berlangsung di Stadium Al-Shabab, Riyadh.
Penyerang Portugal itu membuka tirai jaringan pada minit ke-21 menerusi sepakan penalti menewaskan penjaga gol Al-Shabab, Mohammed Al-Absi dan dua jaringan berjaya disumbat daripada pemain Brazil, Talisca berjaya memastikan Al-Nassr meraih tiga mata penuh.
Meskipun begitu, dua pemain Al-Shabab, Yannick Carrasco dan Carlos membantu pasukannya itu mencetak dua gol.
Bagaimanapun, sebaik wisel penamat ditiup oleh pengadil perlawanan, bekas bintang Manchester United oitu dirakam melakukan isyarat lucah ke arah penyokong Al-Shabab yang mengejeknya dengan melaungkan nama "Lionel Messi".
BACA LAGI: Hanya sedia runding pegangan saham, bukan jual kelab KL Rovers
BACA LAGI: Skuad Jang cuba pikat ‘The Giant Killer’
Meskipun insiden berkenaan tidak dirakam kamera televisyen, tetapi sebahagian pengulas sukan Saudi mahu Ronaldo digantung.
Bagaimanapun, belum ada kenyataan rasmi berkenaan perkara itu namun media Saudi melaporkan, Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi (SAFF) sudah membuka kertas siasatan.
"Jawatankuasa disiplin akan berdepan ujian besar. Kita tunggu dan lihat. Semua ada limit tak kira betapa popularnya anda," kata wartawan Arab Saudi, Waleed Al Farraj.
Sebelum ini, bintang dunia itu pernah berdepan kritikan sama apabila dia turut melakukan isyarat lucah ketika menuju ke bilik persalinan selepas pasukannya tewas 0-2 kepada Al-Hilal musim lepas.
Pada April musim lalu, Ronaldo mengambil skaf Al-Hilal yang dilemparkan ke arahnya dan memasukkannya ke dalam seluar sebelum melemparkannya semula.
Ronaldo yang kini mendahului senarai penjaring Liga Pro Saudi dengan 22 gol dalam 20 penampilan, menjadi sasaran penyokong lawan yang sering melaungkan nama seterunya, Lionel Messi. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram