Andai bersatu semula jika kapten Kedah berhijrah, Sang Kenari kena fikir masak-masak sebelum 'ikat' Liridon


  • Podium
  • Isnin, 26 Feb 2024

Kedah mungkin akan menjadi destinasi Liridon Krasniqi untuk musim 2024/2025. — Agensi

MASA untuk ketua pasukan Kedah Darul Aman FC, Manny Ott mungkin semakin tipis. Pemain tengah Filipina itu dijangka akan meninggalkan kelab tersebut untuk menyertai Terengganu FC.

Jika Ott benar meninggalkan Sang Kenari, ia meninggalkan satu kekosongan yang perlu diisi oleh Nafuzi Zain supaya Kedah terus mencabar kejuaraan.

Namun begitu, seorang pemain Harimau Malaya, Liridon Krasniqi telah memberikan klu yang dia mungkin akan kembali ke pangkuan Kedah. Di atas kertas, pemain naturalisasi negara itu boleh menggantikan tempat Ott.

Dalam analisis ringkas Majoriti kali ini, kita akan merungkai adakah wajar atau tidak untuk Liridon kembali menyertai Kedah:

Sebati dengan Kedah

Sekiranya Kedah memilih untuk mendapatkan semula Liridon, ia pasti akan membangkitkan nostalgia dalam kalangan penyokong mereka. Diakui, pemain tersebut antara yang popular dalam kalangan penyokong Kedah.

Kepulangan semula Mat Don ke Darul Aman pastinya akan menjulang semula semangat Kedah yang luntur akibat masalah kewangan kini kerana Liridon merupakan antara bintang Sang Kenari yang membantu mereka menjuarai Liga Premier dan Piala Malaysia satu masa dulu.

Jika Liridon kembali, pastinya dia akan disambut bak wira oleh penyokong Kedah kerana kualitinya mampu mengisi pemergian Ott sebagai jeneral di tengah.

Dengan corak permainannya dan lagaknya yang penuh bergaya, ia mampu menimbulkan hype dalam kalangan penyokong terhadapnya.

BACA LAGI: Bukan sekadar 'ala ketik-ketik je', jurufoto otai kongsi pengalaman bermusuh dengan cuaca, rakam momen hebat Faisal Halim

fb_img_1492667838540

Liridon merupakan pemain popular dalam kalangan penyokong Kedah. — Kedah FA

Sudah lepas zaman gemilang

Namun begitu, kehadiran Liridon mungkin tidak akan memberikan pulangan seperti diharapkan kerana faktor prestasinya.

Untuk beberapa musim, Liridon sudah tidak lagi berada di puncak kariernya atau sehebat waktu di Kedah. Dia sudah tidak mampu menghasilkan permainan yang berkualiti dalam mengawal bahagian tengah.

Malah, Liridon juga mula dianggap sebagai beban kerana faktornya menyebabkan permainan sering menjadi perlahan apabila bola tiba di kakinya.

Jika Kedah mendapatkan Liridon, ia berkemungkinan boleh membuatkan rentak pasukan menjadi perlahan dan permainan tidak rancak.

BACA LAGI: Kapten Kedah bakal ikut SD TFC ‘u-turn’ ke Pantai Timur?

mat-don

Walaupun berkelana ke India, Liridon sudah tidak sehebat dulu. — Agensi

Egois

Liridon merupakan seorang pemain yang mempunyai ego yang tersendiri. Jika Kedah ingin mendapatkannya, mereka perlu berdepan situasi di mana terdapat seorang pemain yang dianggap sebagai diva.

Liridon juga dianggap sebagai pemain yang lebih mengutamakan perhatian individu. Dari gayanya, dia mungkin lebih tumpukan kepada publisiti terhadap diri sendiri berbanding pasukan.

Dalam masa yang sama, Liridon juga mungkin akan meminta gaji yang tinggi kerana faktornya sebagai pemain yang pernah beraksi di peringkat antarabangsa. Jika tidak diurus dengan baik, kewangan Kedah mungkin akan bermasalah.

Oleh itu, jika Kedah inginkan Mat Don kembali, mereka perlu bijak dan berunding dengan sebaiknya agar tidak menganggu kantung kelab. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram