[VIDEO] Dari budak Milo ke penjaring Bundesliga, kenali prospek Bayern Munich


  • Podium
  • Ahad, 25 Feb 2024

Pavlovic semakin menjadi watak penting dalam misi mereka mengekalkan kejuaraan buat kali ke-12 kali berturut-turut. — Agensi

BUKANLAH sesuatu hal yang mudah buat seseorang menjadi pemain profesional bola sepak hari ini, apatah lagi mewakili kelab-kelab ternama di Eropah.

Selain perlu mengorbankan masa dan tenaga buat bertahun-tahun, bakat juga memainkan peranan penting untuk melahirkan seorang pemain berkualiti.

Namun, bagi 'ubi muda' kelahiran Serbia, Aleksander Pavlovic, cabaran besar terpaksa dihadapi dalam merealisasikan cita-citanya untuk beraksi buat kelab kegemarannya di Jerman, Bayern Munich.

Setelah diberikan debut dalam Bundesliga musim ini, ramai sudah menyedari bahawa skuad The Bavaria memiliki seorang lagi bakat baharu dalam dunia bola sepak.

Dia yang baru sahaja berusia 19 tahun sudah diturunkan sebanyak 11 kali dalam saingan Bundesliga oleh pengurus, Thomas Tuchel serta satu penampilan cameo dalam aksi Liga Juara-Juara UEFA (UCL).

Ia pasti menjadi satu pencapaian hebat buatnya setelah menyertai akademi Bayern Munich seawal usia tujuh tahun selain beraksi buat skuad pelbagai usia pasukan itu.

Namun, apa yang lebih membanggakan adalah apabila orang ramai menyedari bahawa Pavlovic pernah bertugas sebagai pengutip bola ketika masih remaja.

Berdasarkan satu klip dimuat naik di laman rasmi Bundesliga, pemain itu kelihatan di tepi padang beberapa musim lalu dengan video tersebut memaparkannya memberikan bola kepada tonggak pasukan, Thomas Muller.

Selain itu, Pavlovic juga kelihatan ketika sambutan kejuaraan Bayern Munich pada musim 2018/19 dengan dia hanya mampu melihat Franck Ribery dan Corentin Tolisson mengangkat trofi berkenaan.

GE3BBXPXsAAr0tN

Pavlovic kini memiliki dua gol dan dua bantuan jaringan buat skuad The Bavaria dalam Bundesliga. — Agensi

Ia jelas menjadi satu dorongan buatnya terus berkembang dalam sukan diminatinya itu sehingga membolehkannya beraksi dalam skuad utama musim lalu.

Pavlovic juga menjadi bahan bualan peminat bola sepak di Jerman baru-baru ini ketika dia menjaringkan gol dalam aksi Bundesliga berdepan FC Augsburg sebelum sekali lagi melakukannya pada minggu berikutnya menentang Borussia Monchengladbach.

Di samping itu, pemain skuad antarabangsa Bawah 20 Tahun (B-20) Jerman berkenaan turut mempunyai dua bantuan jaringan yang pastinya akan melonjakkan lagi peluangnya bersama Bayern Munich.

Jadi, kenangan Pavlovic menjadi pengutip bola atau turut dikenali sebagai 'budak Milo' pasti lebih manis ketika ini dengan dia mempunyai misi membantu pasukannya meraih gelaran Bundesliga ke-12 berturut-turut.

Kelab itu kini berada di tangga kedua dengan lapan mata membezakan mereka berbanding pendahulu, Bayer Leverkusen setelah 23 perlawanan diharungi. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram