SKUAD bola sepak negara pernah merasai era kegemilangan pada penghujung 1970-an dan 1980-an sehingga menyaksikan mereka digeruni di seluruh Asia.
Limpahan bintang seperti Allahyarham Mokhtar Dahari, mendiang R Arumugam dan Soh Chin Ann merupakan faktor utama pasukan itu meraih pelbagai kemenangan bersejarah.
Salah satu kenangan terbaik adalah ketika Harimau Malaya menumpaskan Jepun dalam perlawanan pusingan kedua Kelayakan Olimpik 1984 yang berlangsung di Singapura.
Pasukan negara yang ketika itu dikendalikan jurulatih dari England, Frank Lord meraih kemenangan 2-1 hasil jaringan Yunus Alif dan Datuk Zainal Abidin Hassan sementara lawannya menjaringkan gol menerusi Hiromi Hara.
Bagaimanapun, keputusan akhir berkenaan kurang diraikan penyokong Harimau Malaya ketika itu kerana Jepun bukanlah sebuah negara yang megah dalam dunia bola sepak.
Sekiranya dibandingkan, skuad kebangsaan mempunyai pasukan lebih lengkap setelah melayakkan diri ke Temasya Olimpik 1980, namun memilih untuk menarik diri atas faktor politik.
Tetapi, jika dilihat berdasarkan situasi hari ini, orang ramai pasti mengangkat kemenangan terbabit cukup bermakna, lebih-lebih lagi dengan kualiti Jepun hari ini jauh meninggalkan skuad kebangsaan.
Pengguna Facebook menerusi akaun Bola Sepak yang memuat naik klip daripada perlawanan tersebut menyaksikan orang ramai berasakan kejayaan itu sepatutnya menjadi batu loncatan buat pasukan negara.
"Sepatutnya bola sepak kita sudah maju ke hadapan dari tahun ke tahun. Pasukan otai kita dahulu juga lebih mantap," kata Mohd Hamzi Abdul Hamid.
"Ketika ini, Jepun masih belajar dengan Malaysia bagaimana cara untuk membangunkan liga walaupun berstatus semi pro. 10 tahun kemudian, kisah sebaliknya berlaku," ujar Elyias Othman.
Jepun kini merupakan sebuah pasukan digeruni dalam dunia bola sepak hari ini. — Agensi
"Jepun terus berjaya dengan pembangunan bola sepak yang mereka rancang manakala Malaysia terlalu lama dalam fasa selesa sehingga tidak sedar bola sepak negara makin ketinggalan," kata RC Keen Dino.
Meskipun meraih keputusan cemerlang ketika berdepan skuad Samurai Biru, ia masih tidak membantu Harimau Malaya layak setelah hanya menamatkan saingan kumpulan di tangga keempat daripada lima pasukan.
Harapan pasukan negara untuk layak ke Temasya Olimpik sehingga kini kian malap dengan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) sudah jauh ketinggalan berbanding pasukan lain, baik dari Asia mahupun Asia Tenggara.
Sementara itu, Jepun yang hanya berada di kedudukan terbawah kumpulan dalam kempen kelayakan sudah bangkit apabila mereka kian dikenali dalam dunia bola sepak antarabangsa.
Kejayaan dalam skuad Piala Dunia beberapa edisi kebelakangan ini sudah cukup untuk menceritakan tahap semasa mereka yang sering digeruni lawan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram