'ONE man one club'. Demikian istilah yang sering digunakan jika ingin menggambarkan kesetiaan seorang pemain jika karier bola sepaknya bermula dan berakhir bersama pasukan sama walaupun pelbagai rintangan datang.
Kesetiaan pemain boleh diukur jika mereka memilih untuk kekal dengan pasukan dalam satu masa yang lama dan akhirnya dinaik taraf menjadi sebahagian barisan kejurulatihan ataupun diiktiraf sebagai legenda kelab.
Jika dilihat suasana bola sepak tanah air, jarang sekali pemain kekal menyarung jersi sama melebihi lima tahun kerana rata-ratanya berhijrah dek mengejar minit permainan dan masalah gaji.
Namun siapa sangka ada juga pemain masa kini yang kekal dengan pendirian untuk kekal bersama kelab sama walaupun banyak khabar angin mengaitkan mereka ketika jendela perpindahan sedang berlangsung.
Malah, ketika jendela perpindahan musim 2024/2025 ini, ada juga pemain berpengalaman masih menjadi buruan kelab lain kerana percaya keupayaan dan kemahiran mereka yang mampu mengangkat kedudukan pasukan ke lebih tinggi.
Para pemain berkenaan bagaimanapun memilih untuk berada di kelab masing-masing dan akhirnya keputusan itu menghampakan peminat pasukan lawan yang sudah lama mendambakan khidmat mereka.
Sejajar dengan jendela perpindahan yang sedang berlangsung, Majoriti menyenaraikan tiga pemain buruan kelab lawan tapi memilih untuk kekal bersama pasukan masing-masing;
BACA LAGI: Mula-mula nafi, JDT akhirnya pilih Bojan Hodak
1) Ifwat Akmal
Ifwat sudah menyertai Kedah pada musim 2016. — Facebook/KDAFC
Penjaga gol senior Kedah Darul Aman (KDA) FC, Ifwat Akmal masih menunjukkan ikrar setia bersama skuad Hijau Kuning sejak dia menyertai pasukan berkenaan pada saingan musim 2016 sehingga kini.
Dari hanya memanaskan bangku simpanan di awal pembabitannya sehingga diiktiraf sebagai penjaga gol nombor satu Kedah, kesetiaan Ifwat bersama bumi Darul Aman tidak pernah pudar walaupun banyak menerima kecaman penyokong.
Pasa saingan musim 2022, persembahan pemain berusia 27 tahun berkenaan mendapat kritikan hebat dari penyokong yang rata-ratanya menganggap bahawa fizikal Ifwat sudah tidak sesuai menggalas tanggungjawab sebagai benteng terakhir Kedah.
Oleh sebab itu, barisan kejurulatihan baharu yang diketuai Nafuzi Zain memutuskan untuk membawa masuk Kalamullah Al-Hafiz bagi menggantikan posisi Ifwat namun ia tidak mematahkan semangat anak jati Alor Setar itu untuk berhijrah ke kelab lain.
Setakat ini, penjaga gol berketinggian 1.78 meter itu sudah tampil dalam 84 perlawanan bersama Kedah dan pernah membantu menjulang trofi Piala FA pada musim 2016/2017 dan 2018/2019.
2) Azam Azih
Azam sudah tampil dalam 200 perlawanan bersama Sri Pahang. — Facebook/SriPahang
Selangor FC dan Johor Darul Takzim (JDT) antara dua nama kelab gergasi yang pernah dikaitkan dengan arkitek Sri Pahang, Azam Azih namun sehingga kini tiada sebarang penghijrahan berlaku melibatkan pemain itu.
Anak jati Pahang yang juga bekas pemain kebangsaan berkenaan masih setia bersama skuad Tok Gajah sejak menyertai kelab tersebut pada tahun 2015 dan difahamkan dia juga masih berada dalam perancangan kelab Pantai Timur berkenaan.
'Jiwa aku hanya untuk Sri Pahang', ayat yang pernah dilontarkan pemain berusia 29 tahun itu ketika ramai penyokong bimbang jika Azam membuat keputusan untuk angkat kaki daripada pasukan Tok Gajah.
Tidak dinafikan Azam sering terpalit dengan isu kecederaan namun ia bukan alasan buat penyokong memaksa bekas pemain Harimau B itu berhijrah ke pasukan lain dan sebaliknya masih ingin menyaksikan dia kekal bersama Tok Gajah.
Keputusan Azam untuk kekal bersama Sri Pahang berkemungkinan disebabkan faktor minit permainan kerana tiada jaminan untuk mendapat kesebelasan utama sekiranya dia memilih berkelana ke pasukan lain.
Untuk rekod, antara pencapaian terbaik pemain itu bersama Tok Gajah ialah menjuarai Piala FA pada tahun 2018 selepas menewaskan Selangor 2-0.
BACA LAGI: Dah tiba masa ganti Ifwat, KDA FC antara 3 kelab patut sambar Rahadiazli
3) Farizal Marlias
Farizal berhijrah ke JDT pada musim 2014. — Facebook/JDT
Penjaga gol Harimau Selatan, Farizal Marlias berjaya mencatatkan clean sheet yang ke-100 dalam kariernya selepas membantu JDT menewaskan Kuching City FC 2-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada November lalu.
Rekod mengagumkan itu membuktikan Farizal masih mampu mengawal ketat gawang JDT selepas a lapan musim menjadi benteng terakhir juara bertahan Liga Super itu sejak menyertainya dari Selangor FC pada 2015.
Tidak dinafikan Farizal mempunyai banyak pengalaman bersama kelab lain namun JDT boleh dianggap sebagai destinasi menggantung butnya dan jangan terkejut jika pemain berusia 37 tahun itu bakal menjadi kakitangan jurulatih seperti Aidil Zafuan Abd Radzak.
Sejak Syihan Hazmi menyertai JDT pada awal tahun lalu, Farizal dicanang bakal ke Perak FC sebagai pemain pinjaman namun perpindahan berkenaan tidak berlaku dan sebaliknya pemain itu cuba mengumpul minit permainan bersama Harimau Selatan.
Untuk rekod, Farizal memainkan peranan penting ketika juara 'double quadruple' berkenaan merangkul gelaran Piala AFC pada 2015 dan seterusnya melangkah ke saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram