SKUAD badminton lelaki negara mempamerkan persembahan terbaik dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 setelah melangkah ke perlawanan akhir.
Kejayaan itu menyaksikan mereka hanya selangkah untuk mempertahankan kejuaraan selepas muncul juara dalam edisi lalu yang diadakan pada 2022 di venue sama, iaitu Shah Alam, Selangor.
Pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) pada Sabtu, pasukan negara memastikan tempat ke perlawanan akhir selepas menyingkirkan Jepun menerusi kemenangan 3-1.
Malaysia memulakan perlawanan dengan langkah kanan apabila jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia tidak berdepan masalah untuk menghadiahkan mata pertama pasukan negara selepas menang 21-18, 21-15 ke atas Kenta Nishimoto.
Keyakinan negara untuk melangkah ke pentas akhir semakin meningkat setelah beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meletakkan pasukan 2-0 di depan selepas menewaskan Akira Koga-Taichi Saito 15-21, 21-17, 21-10.
BACA LAGI: Belum sempat main di Terbuka India, beregu badminton negara ‘diusir’ pulang ke Malaysia

Kejayaan Zii Jia dalam perlawanan pertama memberi keyakinan buat pasukan negara. — Facebook/BAM
BACA LAGI: [VIDEO] Gelanggang sering koyak bikin fans badminton Indonesia risau saksikan Terbuka Malaysia 2024
Namun, pasukan dari negara Matahari Terbit itu kembali merapatkan kedudukan 2-1 menerusi perseorangan kedua, Koki Watanabe yang bertungkus lumus untuk meraih kemenangan dalam aksi tiga set 19-21, 21-12, 21-19 ke atas Leong Jun Hao.
Beregu kedua kebangsaan, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menjadi wira Malaysia apabila menghadiahkan mata kemenangan pasukan negara apabila menewaskan Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura 21-15, 21-19.
Kejayaan berkenaan menyaksikan pasukan negara akan berentap dalam perlawanan akhir buat edisi ketiga berturut-turut selepas turut melakukannya pada 2020 dan 2022.
Bagaimanapun, ujian getir menanti mereka dalam misi mempertahankan kejuaraan apabila dijadual bertemu pilihan pertama, China di pentas akhir pada Ahad.
China mara ke final selepas menewaskan Korea Selatan 3-2 dalam satu lagi aksi separuh akhir. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
