PASANGAN beregu badminton lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi terpaksa menarik diri daripada Terbuka India yang bermula Selasa inI selepas gagal mendapatkan visa.
Menerusi perkongsian di Insta Story, Ee Yi mengakui kesilapannya sendiri yang memohon e-visa menggunakan pasport lama dan terpaksa menanggung akibat untuk menarik diri dari kejohanan berkenaan.
"Saya membuat kesilapan dengan menggunakan pasport lama saya untuk permohonan visa dalam talian saya.
“Saya cuba menggunakan visa kecemasan tetapi malangnya, jabatan imigresen India memutuskan untuk menghantar saya pulang.
"Tiada apa yang boleh saya lakukan. Sekarang, saya sudah berada dalam penerbangan pulang. Ia adalah kesilapan saya dan saya perlu menarik diri daripada Terbuka India, “ keluh Ee Yi menerusi media sosial pada Isnin.
BACA LAGI: Saya minta maaf — Tze Yong
Tangkap layar Insta Story Ee Yi.
Sementara itu, jurulatih duo berkenaan, Rosman Razak pula berkongsi bahawa beliau dan Yew Sin masih berada di New Delhi dan sedang memikirkan pilihan terbaik.
"Malangnya. Yew Sin dan saya masih di sini (di New Delhi), kami akan melihat pilihan terbaik seterusnya,” katanya.
Penarikan diri itu memberi tamparan hebat kepada beregu nombor 12 dunia itu yang kini dalam misi untuk layak ke Sukan Olimpik Paris.
Pasangan berkenaan perlu menembusi lapan teratas sebelum tempoh kelayakan tamat pada April untuk layak ke temasya sukan berprestij tersebut.
Untuk rekod, pada Terbuka Malaysia 2024 minggu lalu, Ee Yi-Yew Sin tersingkir di suku akhir selepas kecundang di tangan gandingan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 15-21, 9-21. — The Star/R. KIRUBASHINI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram