Fans dulu tak sama, pejabat Penang FA terbakar kena baling molotov cocktail kerana prestasi buruk Harimau Kumbang


  • Podium
  • Khamis, 15 Feb 2024

Harimau Kumbang menamatkan saingan Liga Super 2023 di tangga ke-10. — Facebook/Penang FC

BEBERAPA tahun kebelakangan ini, Penang FC tidak berada dalam laluan yang tepat apabila tampil dengan persembahan kurang memuaskan dan di penghujung musim hanya mampu menghuni pertengahan liga.

Walaupun begitu, luahan penyokong terhadap prestasi pasukan Harimau Kumbang sekadar diekspresikan di media sosial dan paling teruk pun ada sebilangan penyokong menzahirkan perasaan kurang puas hati itu selepas perlawanan berlangsung.

Berbeza dengan tujuh tahun lepas apabila ada perbuatan khianat terhadap Penang FA selepas kelab Utara tanah air itu gagal memenuhi jangkaan penyokong yang menginginkan pasukan memberi prestasi cemerlang di musim berkenaan.

Berdasarkan laporan media pada Februari 2017, pejabat Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) di lorong Jalan Sepoy di George Town, Pulau Pinang dibaling bahan letupan buatan sendiri iaitu molotov cocktail (bom petrol).

Setiausaha Eksekutifnya ketika itu, Muhammad Asyraf Mohamad Yusof dilaporkan berkata, serangan di ibu pejabat Penang FA itu berlaku selama dua hari dengan kedua-duanya berlaku kira-kira pukul 5 pagi.

Pada kejadian pertama, kakitangan Penang FA mengenal pasti sebuah menara telekomunikasi di luar pejabat terbakar dan sebahagiannya lagi di kawasan tangga mereka juga mengalami kejadian sama.

BACA LAGI: Bantu PDRM julang Piala Cabaran, 'winger' The Cops sertai Penang FC

isi dalam

Sebutir bom molotov dibaling di pejabat FAP pada tujuh tahun lepas. — Agensi

BACA LAGI: Kerap buat silap mudah buat fans senang hati graduan TFC dikhabar ke Penang FC

"Anggota penyelamat dan Bomba memadam kebakaran. Dua botol arak dan serpihan kaca ditemui di atas lantai," kata Asyraf memetik laporan media ketika itu.

Menurutnya, insiden itu boleh dikaitkan dengan prestasi buruk pasukan Pulau Pinang pada musim berkenaan atau rasa tidak puas hati terhadap pihak yang bertanggungjawab dalam persatuan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut pada waktu berkenaan, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan bahawa terdapat serpihan botol pecah dan kesan petrol memang ditemui di hadapan pejabat.

“Tiada kerosakan yang dialami di pejabat itu, yang tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) atau pengawal keselamatan. Juga tiada saksi kejadian itu.

“(FAP) tidak mengesyaki sesiapa, kerana ini adalah kali pertama kejadian seperti itu berlaku,” katanya sambil mengesahkan bahawa pihak polis juga merekodkan kenyataan daripada kakitangan FAP bagi menentukan motif di sebalik serangan tersebut.

Siasatan dibuka mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api atau bahan letupan dengan niat mendatangkan kerosakan, yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda.

Selepas tujuh tahun, dalang sebenar kejadian begitu pun masih belum dikenal pasti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram