Bekas bintang EPL di Australia boleh rancakkan kuota import Liga M tak lama lagi


  • Podium
  • Rabu, 14 Feb 2024

Antara momen Davila ketika menentang Sabah FC. — Facebook/AFC

SABAH FC terpaksa melupakan hasrat untuk lolos ke peringkat final Piala AFC Zon Asean selepas tewas 0-3 di tangan wakil Australia, Macarthur FC dalam aksi separuh akhir di Stadium Campbelltown di New South Wales, Australia pada Selasa.

Persembahan cemerlang yang ditunjukkan anak-anak buah Mile Sterjovski menunjukkan terdapat jurang perbezaan dari segi penguasaan bola dan hantarat tepat ke arah gawang lawan di antara para pemain The Rhinos dengan skuad The Bulls.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh pihak Piala AFC, The Rhinos tidak mencetak sebarang percubaan ke ke arah pintu gol Filip Kurto dan ia berbeza dengan Macarthur merekodkan lima cubaan.

Dari segi penguasaan bola pula, anak-anak buah Sterjovski mudah menterjemahkan taktikal yang diberikan pengendali kelahiran Australia berkenaan dengan menguasai lebih 60 peratus permainan pada aksi separuh akhir itu.

Dengan persembahan memukau pemain Macarthur, jangan pelik jika ada pemain mereka selepas ini akan dipantau oleh kelab Asia lain mahupun pasukan Liga Malaysia (Liga M) yang sedang bertanding dalam saingan Liga Super.

Berdasarkan persembahan menentang Sabah dan rekod perlawanan sebelum ini, Majoriti mencadangkan tiga yang boleh dipertimbangkan oleh pasukan Liga Super sebagai sasaran pemain import bagi musim-musim seterusnya mahupun jendela perpindahan 2024/2025;

BACA LAGI: Saddil hilang, tiada aksi kompetitif tutup cerita Sabah di Asia

1) Ulises Davila

Ketua pasukan Macarthur, Ulises Davila yang mula menyertai pasukan pada musim 2019 dan sejak itu pemain kelahiran Mexico berkenaan terus mendapat kepercayaan untuk beraksi sebagai tonggak tengah menyerang Macarthur.

Davila bukan nama sembarangan dalam dunia bola sepak apabila mempunyai banyak pengalaman beraksi di pentas Eropah dan dia merupakan pemain Mexico pertama yang menandatangani kelab gergasi England, Chelsea pada musim 2011 hingga 2015.

Tidak dinafikan sepanjang tempoh lima tahun berkenaan, Davila banyak dipinjamkan ke kelab seperti Vitoria Setubal, CE Sabadell dan Cordoba CF namun proses berkenaan mematangkan dia sebagai pemain bola sepak.

Bercakap mengenai aksinya bersama Macarthur sejak musim 2019, pemain berusia 32 tahun itu adalah tonggak yang akan bertanggungjawab untuk merancang serangan dengan dia sudah membantu meledak 23 gol dan sembilan hantaran bantuan dalam 61 aksi dia diturunkan.

Bercakap mengenai aksi menentang Sabah pula, selain menjalankan tugas sebagai ketua pasukan, Davila turut meledak satu gol dan satu bantuan dalam 90 minit perlawanan dia beraksi.

Berdasarkan laman Transfermarkt, kelab Liga Super yang menginginkan pemain tengah Macarthur ini perlu menunggu sehingga Jun ini susulan kontraknya dilaporkan akan tamat bersama kelab berkenaan.

2) Jed Drew

Penglibatan penyerang sayap Macarthur, Jed Drew dalam dunia bola sepak mencuri tumpuan apabila penyokong mula mengetahui bahawa pemain muda itu merupakan anak kepada bekas pemain Liga Ragbi Australia, Brad Drew.

Walaupun tidak mewarisi sukan ayahnya, namun keputusan pemain skuad Bawah 20 (B-20) Australia berkenaan adalah tepat kerana kini Jed boleh dianggap sebagai salah satu permata negara tersebut.

Perlawanan menentang Sabah pasti antara yang sukar dilupakan Jed apabila ia merupakan kali pertama penyerang sayap kiri tersebut meledak dua jaringan gol dan satu hantaran bantuan menentang The Rhinos.

Manakala, untuk rekod perlawanannya sejak beraksi bersama Macarthur pada musim 2022, Jed sudah meledak lima jaringan gol dan enam hantaran bantuan dalam 23 penampilan dia diturunkan.

Dengan usianya yang masih muda iaitu 20 tahun, Jed boleh menjadi rebutan kelab Liga Super untuk menjadi aset jangka masa panjang pasukan namun perpindahan ke tanah air mungkin akan berlaku lama lagi.

Hal ini kerana, kontrak pemain muda itu bersama akan tamat pada Jun 2025 dan sekali pun ada kelab berminat, mereka perlu menebus kontrak kepada kepada Macarthur bagi mendapatkan Jed.

BACA LAGI: Kim Swee ada senjata rahsia, ketiadaan Saddil Ramdani bukan penghalang

3) Ivan Vujica

WhatsApp Image 2024-02-13 at 22.00.08 (1)

Vujica merupakan antara bek kiri utama Macarthur. — Facebook/AFC

Pertahanan kiri, Ivan Vujica juga tampil dengan aksi cemerlang dalam mematahkan serangan pemain The Rhinos yang mencuba menembusi gawang Macarthur pada aksi separuh akhir menentang Sabah dalam kejohanan Piala AFC berkenaan.

Pemain campuran Australia-Croatia itu baru sahaja menyertai Macarthur pada Jun 2022 namun sudah dapat mengukuhkan posisinya sebagai kesebelasan utama dalam perlawanan domestik dan kejohanan penting seperti Piala AFC.

Berdasarkan statistik perlawanan bersama Macarthur, Vujica sudah tampil dalam 45 perlawanan sejak musim 2022 dengan empat daripadanya adalah kejohanan Piala AFC musim 2023.

Tonggak berusia 26 tahun tersebut juga mempunyai pengalaman beraksi dengan kelab Croatia, GNK Dinamo Zagreb semasa remnaja dan diturunkan pada pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia bersama Newcastle United Jets pada musim 2018/19.

Seperti Drew, Vujica juga mempunyai kontrak sehingga Jun 2025 dan memerlukan sejumlah wang yang banyak jika ada kelab Liga Super berminat untuk pertahanan berketinggian 1.80 meter itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram