Atlet terjun otai perjelas isu 'tangan ghaib', tampil pertahan Pandelela


  • Podium
  • Selasa, 13 Feb 2024

Pandelela sebelum ini mendedahkan terdapat satu 'entiti' menjadi salah satu punca kegagalan kem terjun negara. — AFP

ISU 'entiti' yang didedahkan Datuk Pandelela Rinong hangat diperdebatkan dalam kalangan penyokong sukan tanah air dengan majoriti masih tertanya-tanya apakah perkara dimaksudkan ratu terjun negara berkenaan.

Pandelela sebelum ini berkongsi bahawa wujudnya entiti yang mengganggu penerjun senior dan junior negara sehingga menyebabkan mereka gagal pada Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar baru-baru ini.

Keputusan kurang memberangsangkan berkenaan juga menyaksikan Pandelela dan pasangan terjunnya, Nur Dhabitah Sabri kempunan layak ke Sukan Olimpik Paris dalam acara dalam acara 10m platform seirama wanita.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh atlet kelahiran Bau, Sarawak berkenaan turut menimbulkan respons negatif apabila ada pihak tertentu mendakwa bahawa Pandelela hanya mewujudkan alasan dan mencari individu dipersalahkan susulan kekalahan itu.

Walaupun dakwaan Pandelela menerima kecaman hebat dari segelintir pihak namun tidak bagi bekas penerjun negara, Bryan Nickson Lomas yang tampil membela atlet juniornya dan menyifatkan kenyataan tersebut hanya disalahertikan.

BACA LAGI: Pandelela Rinong 'diganggu', ramai susah hati, kem terjun pun ada 'tangan ghaib' macam bola sepak

bryam

Bryan kini diberi kepercayaan untuk menyandang tugas sebagai pengarah teknikal Persekutuan Renang Malaysia. — Agensi

Menurut Bryan yang juga kini bertugas sebagai pengarah teknikal Persekutuan Renang Malaysia (MAS) berkata, terdapat kekangan masa untuk mengadakan latihan bersama Nur Dhabitah pada kejohanan berkenaan.

"Bagi saya apa yang Lela (Pandelela) maksudkan ialah benda dia boleh kawal dan tak boleh kawal. Misalnya ketika ke Doha, Lela bergerak asing dengan Dhabitah sebab Lela alami kecederaan. Jadi program latihan tidak berjalan bersama.

"Masa di Doha pula, Dabitha cedera jadi perlu ada perubahan jadual latihan. Jika pasal entiti dan individu sehingga hari ini saya tak faham apa yang dimaksudkan dengan entiti itu.

"Kalau ada pun tangan ghaib, saya orang pertama atau kedua tahu. Saya bersama mereka ketika latihan di China untuk dua minggu. Di Doha dua minggu. Jadi saya tak dengar apa-apa rungutan dari atlet," katanya kepada Majoriti.

Sebelum bertanding di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, atlet terjun negara menjalani latihan di China sebagai persediaan pada 2 hingga 18 Februari itu sebagai persediaan menyertai kejohanan tersebut.

BACA LAGI: Gagal raih tiket ke Olimpik Paris, nasib Pandelela bersama RTG akan diketahui

WhatsApp Image 2024-02-13 at 19.52.59 (1)

Tangkap layar luahan Pandelela.

Penjelasan dari Bryan yang membela Pandelela itu juga sejajar dengan pengakuan terbaharu dari Pandelela yang bersedih dituduh memberi pelbagai alasan selepas gagal layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016 itu berkata, beliau sekadar menjawab soalan diajukan oleh media setibanya mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Isnin.

“Yang cakap pasal entiti atau tangan ghaib itu, bukan saya yang ajukan tetapi wartawan yang bertanya soalan tersebut. Saya cakap tak adalah. Sejujurnya juga, saya sangat kecewa kerana saya tidak memberi alasan pun atas kekalahan ini tapi media tanya.

"Saya terpaksa jawab namun tidak beri penjelasan terperinci. Saya belum berjumpa lagi persatuan untuk berbincang tentang masalah dihadapi dan saya sangat sedih artikel ini dikeluarkan dahulu,” katanya menerusi hantaran di insta story Instagramnya pada Selasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram