AKSI menakjubkan yang ditampil oleh pemain-pemain Harimau Malaya ketika menentang Korea Selatan wajar mendapat pujian daripada seluruh penyokong bola sepak tempatan.
Ini kerana skuad kebangsaan berjaya bangkit daripada ketinggalan sekali gus mengikat Korea Selatan dengan keputusan 3-3 dengan wira Harimau Malaya ialah pemain naturalisasi baharu, Romel Morales.
Melihat pemain-pemain Malaysia kini mampu bersaing di pentas Asia dengan pasukan yang lebih baik membuatkan timbul rasa terharu dan bangga dengan pencapaian semasa Harimau Malaya yang tidak pernah kita gambarkan.
Terutamanya apabila anak-anak buah Kim Pan-gon mampu memberikan saingan kepada pasukan-pasukan Arab seperti Jordan dan Bahrain meskipun tubuh badan mereka lebih besar daripada pemain tempatan.
Akhyar Rashid menjadi salah seorang pemain yang diterjah keras dalam perlawanan menentang pasukan Arab namun tidak seperti mana dia enam tahun lepas semasa mewakili Harimau Muda.
Ini semua hasil latihan berintensiti tinggi daripada pasukannya Johor Darul Ta'zim (JDT) yang menjadikannya antara aset penting buat pasukan kebangsaan ketika ini.
Pada 2017, ketika perlawanan bola sepak Sukan Sea di antara Malaysia dan Singapura, Akhyar Rashid hampir mengalami kecederaan serius akibat terjahan keras daripada pertahanan lawan.
BACA LAGI: Selangor kekalkan 2 import projek naturalisasi, tapi fans masih tagih khidmat Ayron del Valle
Dalam perlawanan tersebut, Akhyar yang baru berusia 18 tahun membawa bola berseorangan melepasi pemain lawan sebelum pertahanan Singapura melakukan asakan yang tidak wajar kepada pemain muda itu.
Terjahanan yang dilakukan pertahanan Singapura itu mengakibatkan Akhyar berguling-guling di atas padang sambil menahan kesakitan dengan disaksikan ribuan penyokong yang hadir ke Stadium Shah Alam ketika itu.
Namun begitu, dalam perlawanan tersebut Malaysia merekodkan keputusan positif apabila berjaya memenangi aksi tersebut dengan keputusan 2-1 hasil jaringan Nor Azam Azih dan N. Thanabalan untuk menjadi juara Kumpulan A dalam temasya Sukan SEA 2017. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram