PENYERANG muda kebangsaan, Luqman Hakim Shamsudin akhirnya diperkenal secara rasmi sebagai pemain baharu untuk kelab divisyen tiga Jepun (J3 League) iaitu YSSC Yokohama.
Pemain berusia 21 tahun itu memilih untuk berkelana di Asia apabila berjaya mendapatkan perpindahan pinjaman daripada kelab asalnya dekat Belgium iaitu KV Kotrijk.
Walaupun telah diumumkan lebih awal penyertaannya bersama YSSC Yokohama malah sudah pun menjalani latihan, tetapi hanya baru sekarang Luqman diperkenal secara rasmi oleh kelabnya kepada khalayak umum.
Luqman diperkenal bersama-sama tujuh pemain lain yang turut menjadi rekrut baharu kelab itu iaitu Takuma Hashino, Wataru Yamakura, Koji Okumura dan Jukiya Fujishima.
Selain itu, Yushin Otake (Albirex Nigata), Rikuto Hashimoto (Tokyo Verdy) serta Shawn van Eerden (Yokohama FC) melengkapkan lapan pemain baharu YSSC Yokohama dengan mereka bertiga bersama Luqman merupakan rekrut pinjaman.
Dalam majlis pengenalan pemain kelab tersebut, Luqman diberikan jersi nombor 13 oleh kelabnya dan akan memainkan peranan penting memburu gol sebagai sebahagian daripada penyerang bersama-sama Yusei Kayanuma, Jorn Pedersen, Gbevegnon Hidaka Alexandre, Koki Matsumura dan Onye Ogochukwu Promise.
BACA LAGI: Tuah tahun naga jadi harapan perseorangan negara untuk layak ke Sukan Olimpik
Luqman tekad jadi anak Malaysia pertama jadi penjaring terbanyak di Liga Jepun. — X/YSSC Yokohama
Walaupun terdapat ramai penyerang dimiliki kelab, Luqman memilih untuk kekal memberikan persembahan terbaik sambil dengan sasaran peribadinya telah pun ditetapkan.
Luqman berazam untuk menjadi penjaring terbanyak saingan divisyen J3 League untuk menyerlahkan potensinya sebagai penyerang.
Di profilnya yang disiarkan dekat laman rasmi kelab, Luqman secara terbuka meletakkan azam untuk menjadi penjaring terbanyak.
"Saya tidak tahu, mungkin saya akan (bantu pasukan) sebanyak mungkin. Mungkin 10 gol dan saya akan cuba buat yang terbaik," kata Luqman menerusi satu video di laman Instagram pasukan itu.
Sudah pasti, Luqman ingin meninggalkan impak positif yang berpanjangan buat YSSC Yokohama sekali gus memahat nama dalam sejarah J3 League sebagai penjaring terbanyak.
Sebagai rekod, Ren Komatsu dari kelab Matsumoto Yamaga merupakan penjaring terbanyak musim lalu dengan 19 gol manakala Ryo Arita (Iwaki FC) merangkul gelaran sama pada 2022 hasil menyumbat 17 jaringan.
Carta penjaring terbanyak J3 League sering dikuasai oleh pemain Jepun. Kali terakhir pemain luar memenangi gelaran tersebut adalah Leandro, penyerang kelab Gainare Tottori dari Brazil yang meraihnya pada 2018 dengan merekodkan 24 jaringan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram