Piala Asia: Klinsmann, Korea Selatan tidak mampu berdolak-dalik lagi


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Isnin, 29 Jan 2024

Pasukan Korea Selatan yang dibimbing Klinsmann perlu mengatasi Arab Saudi untuk layak ke pusingan seterusnya.

BOLA Pegun kembali menemui pembaca dengan mengalihkan tumpuan ke aksi Piala Asia 2023 di Qatar. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka pasukan-pasukan mengatasi pelbagai rintangan dalam memburu kejayaan.

KOREA Selatan yang dibimbing Jurgen Klinsmann mungkin sebelumnya mengelakkan pertembungan dengan Jepun dalam pusingan 16 tapi itu tidak bermakna laluan mereka akan dipermudahkan ketika berdepan Arab Saudi – dengan pemenangnya berkemungkinan akan menghadapi Australia dalam suku akhir.

Klinsmann ditunjukkan kamera televisyen hanya tersengih di tempat duduknya di tepi padang apabila Malaysia mengikat kedudukan 3-3 pada saat-saat terakhir Khamis lalu untuk pasukannya berkesudahan di tangga kedua Kumpulan E – di sebalik dia menafikan ia sebahagian perancangan untuk mengelakkan Samurai Biru.

“Pusingan kalah mati bebeza sekali dengan peringkat kumpulan di mana setiap lawan akan didapati sukar untuk dihadapi. Siapa pun lawan yang dihadapi dalam pusingan 16, jika anda mahu memenangi kejohanan ini, anda perlu tewaskan siapa saja. Ia semudah itu.

“Kami juga harus berseronok dan dengan Arab Saudi menjadi lawan berikutnya (pukul 12 tengah malam Selasa), ia akan jadi umpama satu pertempuran. Tapi saya tak fikir ada lawan mudah dalam kejohanan ini,” katanya seperti dipetik sebuah agensi berita.

Arab Saudi pula lebih awal mengesahkan kemaraan sebelum aksi ketiga peringkat kumpulan. Begitupun, ketua jurulatihnya, Roberto Mancini, tidak terlepas daripada diperhalusi pilihan pemainnya pada ketika pakar taktikal dari Itali itu melihat pemain-pemainnya menyempurnakan hanya empat gol daripada 57 percubaan di peringkat kumpulan.

BACA LAGI: Tak tahan malu seri dengan Malaysia, fans Korea Selatan mahu Kim Pan-gon ganti Jurgen Klinsmann

WhatsApp Image 2024-01-29 at 20.09.29-2

Mancini mahu pemainnnya lebih banyak mencetak jaringan selepas ini. — Facebook/ArabSaudi

“Kami mencipta banyak peluang yang gagal kami sudahkan tapi apa yang lebih penting kepada saya ialah prestasi kami. Pegangan kami ialah untuk sentiasa menunjukkan permainan baik dan cuba untuk menang,” kata Mancini yang mengemudi Itali menjuarai Kejohanan Euro pada 2021.

“Ini adalah bola sepak... dan bola sepak berkisar kepada menghasilkan jaringan. Dalam dua perlawanan terakhir, kami memiliki banyak peluang tapi saya harap kami hanya menyimpan gol-gol yang sepatutnya kami raih untuk perlawanan berikutnya,” tambahnya.

Ikhtiar Son Heung-min untuk mengetuai Korea menjulang Piala Asia buat julung-julung kali sejak 1960 menuntut mereka agar menyerlahkan keupayaan sebenar ke atas Arab Saudi, lawan yang mungkin liat.

Barangkali sukar untuk penyokong Korea menerima hakikat bahawa sejak kejuaraan kedua berturut-turut mereka dalam dua edisi pertama Piala Asia pada 1960, mereka belum lagi memenangi semula kejohanan di peringkat benua itu.

Sebaliknya, buat Arab Saudi, kemarau kejuaraan mereka tidaklah sebegitu panjang, dengan kali terakhir menjulang trofi itu pada 1996 sebagai menyusuli kejuaraan berturut-turut mereka pada 1984 dan 1988.

Mengambil kira kedua-dua pasukan telah menghabiskan separuh abad lalu sebagai antara kuasa besar bola sepak Asia, rekod sedemikian harus membingungkan.

Kini, kedua-dua Korea Selatan dan Arab Saudi menanti untuk bersemuka dalam pusingan 16, dengan masing-masing memasang impian besar. Tapi, untuk salah satu pasukan, kemarau kejuaraan akan berlanjutan untuk tiga tahun lagi sekurang-kurangnya dengan kemaraan yang ternoktah seawal pusingan 16.

BACA LAGI: Mungkin berhijrah ke Korea Selatan, saham Syihan Hazmi melonjak selepas cemerlang bantu Harimau Malaya

WhatsApp Image 2024-01-29 at 20.09.29

Skuad Taeguk Warriors ketika sesi latihan persiapan menjelang aksi bertemu pada Rabu. — Facebook/KFA

Betapa ia akan meluluhkan hati penyokong kerana jangkaan mereka ialah untuk pasukan pujaan mereka sekurang-kurangnya berarak dalam perlawanan akhir pada 10 Februari atau tidak-tidaknya rebah kepada lawan lebih handal dalam separuh akhir.

Tuah undian – dan Korea harus turut dipersalahkan dalam perkara ini – bermakna salah satu pasukan akan mengambil penerbangan pulang hanya selepas satu rintangan di peringkat kalah mati.

Di sebalik mereka jauh daripada tampil sebagai pasukan dominan, Arab Saudi menepati jangkaan dengan menjuarai Kumpulan F – yang bersamanya menghindarkan mereka daripada berdepan sebuah lagi pasukan juara kumpulan dalam pusingan 16.

Sebaliknya, apa yang tidak dijangkakan ialah Korea akan gagal menjuarai Kumpulan E, terutama selepas kemenangan 3-1 yang meyakinkan ke atas Bahrain dalam perlawanan pertama pada 15 Januari.

Keputusan seri 2-2 dengan Jordan lima hari selepas itu mungkin dilihat sebagai sedikit tergelincir seketika tapi apa yang menyusul sesudah itu hampir sesuatu yang tidak masuk akal – mereka menyudahkan aksi peringkat kumpulan dengan dua kali melepaskan pendahuluan untuk kesudahannya seri 3-3 dengan Malaysia, yang berada 107 anak tangga di bawah mereka dalam ranking dunia.

WhatsApp Image 2024-01-29 at 20.09.26

Aksi Malaysia menentang Korea Selatan pada Khamis lepas. — Facebook/FAM

Tidak hairanlah ramai yang beranggapan Korea menyengajakan keputusan sedemikian demi mengelakkan pertembungan dengan Jepun dalam pusingan berikut – sesuatu yang dinafikan keras oleh Klinsmann dan Heung-min, yang tidak terkecuali daripada kritikan keras dan kata-nista penyokong skuad Taeguk Warriors itu seusai perlawanan.

Dengan juara empat kali, Jepun, juga agak menghairankan dengan berkesudahan di belakang Iraq dalam kumpulannya sehari sebelum itu, Korea mengetahui kemenangan mereka ke atas Malaysia akan menemukan mereka dengan skuad Samurai Biru itu.

Tapi, perihal mereka berhempas-pulas untuk mendahului Malaysia hanya satu gol dalam separuh pertama dan kemudian terpaksa bangkit daripada ketinggalan 1-2 kepada Harimau Malaya, mencadangkan tidak mungkin kesudahan perlawanan dapat ‘diatur’ sedemikian rupa.

Sebaliknya, pujian sewajarnya milik Malaysia yang menyerlahkan keberanian, kesungguhan dan semangat juang untuk mengukir keputusan membanggakan – untuk jadi bahan bualan ramai sekurang-kurangnya sebulan lamanya.

Apa pun, ketika berdepan Arab Saudi tengah malam esok, Korea tidak mampu berdolak-dalik lagi atau mereka yang akan terpaksa mengambil peberbangan pulang keesokannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram