[VIDEO] Adli Hafidz Golden Boy mahu capai impian beraksi di bumi Uncle Sam


  • Podium
  • Ahad, 28 Jan 2024

Petinju negara, Adli Hafidz muncul juara kategori Light Heavyweight WBC Asian Continental di Bangkok, Thailand. — Facebook/AdliGoldenboy

SUKAN tinju semakin popular dalam kalangan rakyat negara kita sejak sekian lama.

Pastinya sukan lasak tersebut sememangnya menarik minat pelbagai pihak terutamanya golongan muda untuk mempelajarinya biarpun ia adalah aktiviti yang memerlukan disiplin mental dan fizikal berada pada tahap yang tinggi.

Bagi peminat sukan tinju, siapa tidak kenal dengan Adli Hafidz Mohd Pauzi, petinju profesional negara yang baru-baru ini mencipta sejarah apabila menjuarai kategori Light Heavyweight WBC Asian Continental di Bangkok, Thailand.

FB_IMG_1704432695998

Adli Hafidz bersama anugerah yang berjaya dicapai olehnya sepanjang bergelar atlet. Facebook/AdliGoldenboy

Berkongsikan pengalaman sepanjang mengalami kecederaan selama enam bulan sebelum ini, Adli Hafidz berkata, kecederaan tersebut bukan alasan bagi dirinya untuk berhenti menjadi atlet.

"Tidak sama sekali terfikir untuk berhenti jadi atlet, sewaktu saya di hospital saya keluar saja dari hospital,dua minggu selepas saya berehat di rumah, saya terus mula melakukan proses recovery which is fisioterapi bersama DBC Physiotherapy Malaysia di Johor Bharu.

"Alhamdullilah, dengan hasil yang konsisten dalam masa enam minggu saya pulih dari kecederaan tapi mengambil masa hingga tiga bulan untuk full recovery dan lagi tiga bulan saya training untuk improved performance saya," katanya kepada Majoriti.

FB_IMG_1704432673520

Adli Hafidz bersama ahli keluarganya. Facebook/AdliGoldenboy

Tambahnya lagi, ibu bapa, isteri dan anak merupakan individu penting yang sentiasa memberi dorongan dan sokongan dalam setiap kejayaan yang berjaya dicapainya sehingga kini.

"Dorongan more kepada kedua ibu bapa, isteri dan anak. Kedua-dua ibu bapa banyak berkorban especially mak saya, dialah individu yang paling banyak memberi sokongan hantar saya, berlatih ketika usia 15 tahun dan dia antara individu paling gembira bila saya memenangi kejuaraan WBC Asian Continental ini.

"Ayah pula memberikan sokongan dan isteri yang paling banyak berkorban menguruskan anak ketika ketiadaan saya dan individu ini semua adalah motivasi kepada saya untuk teruskan karier dalam sukan tinju," kongsinya.

Menurutnya, rakan sekerjanya turut tidak ketinggalan dalam memberi sokongan kepada dirinya dalam sukan tersebut.

"Sudah tentu rakan-rakan sekerja turut memberikan dorongan dan sokongan kepada saya terutama Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia, Datuk Anis Rizana Mohd Zainuddin , Pengarah Kastam Negeri Johor, Tuan Shaharudin Abd Majid dan pegawai, rakan sekerja banyak memberi sokongan dan dorongan serta menghargai kejayaan yang saya telah capai baru-baru ini, Alhamdullilah," ujarnya.

Adli Hafidz

Adli Hafidz atau mesra dengan gelaran Golden Boy bersama tali pinggang yang berjaya diraihnya. Facebook/AdliGoldenboy

Adli Hafidz yang terkenal dengan gelaran Golden Boy itu turut berkongsikan antara kenangan manis dan pahitnya sepanjang menjadi atlet sukan tersebut.

"Antara kenangan manis yang paling diingati adalah ketika menjuarai WBC Asian Continental di Thailand kerana ia adalah tanda kebangkitan selepas enam bulan saya mengalami kecederaan serius yang hampir-hampir mengakibatkan saya bersara, ia adalah satu kenangan manis yang tidak akan saya lupakan.

"Kenangan pahit pula adalah ketika saya tewas kerana hampir untuk mendapat pingat emas di Sukan SEA 2017," jelasnya.

Melihat kepada sukan yang memerlukan disiplin, mental dan fizikal dalam tahap tinggi, Adli Hafidz turut memberi kata-kata semangat kepada anak muda yang turut meminati sukan tersebut.

"Untuk anak muda jangan sesekali mengaku kalah, ianya hanya proses bergelar atlet tinju dan jika mahu berjaya pengorbanan adalah cabaran utama anda," kongsinya.

Ditanya mengenai harapan untuk diri sendiri pada masa akan datang, petinju berusia 35 tahun itu berharap agar dia dapat mencapai matlamat beraksi di Amerika Syarikat.

"Harapan saya, untuk tahun 2024 adalah tahun kebangkitan dan saya ingin mencapai matlamat beraksi di Amerika Syarikat serta memenangi seberapa banyak kejuaraan yang boleh," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram