PEMAIN bola sepak wanita negara, Intan Sarah Anisah Zulgafli tampil memohon maaf atas kritikan yang dibuat olehnya terhadap Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon.
Ia susulan selepas Intan Sarah atau lebih dikenali sebagai Intan Serah itu mempertikaikan pemilihan pemain yang diturunkan oleh Pan-gon dalam aksi Kumpulan E Piala Asia 2023 berdepan Korea Selatan pada Khamis.
Intan Serah difahamkan menginginkan penyerang sensasi, Safawi Rasid untuk dimasukkan sebagai pemain gantian dan mempertikaikan tindakan Pan-gon yang membawa masuk Romel Morales pada penghujung babak permainan.
BACA LAGI: [VIDEO] Intan Serah salah maki KPG, nak Pawi tapi Romel Morales menjadi
Tangkap layar ciapan Intan Serah.
BACA LAGI: 'Tamatkan program naturalisasi', Teong Kim mahu FAM lihat nasib Jerman dan Itali
"Lagi pemilihan pemain yang bodo* daripada KPG (Kim Pan-gon). Masukkanlah Pawi (Safawi)," tulisnya selepas penggantian pemain dibuat.
Namun, percaturan Pan-gon membuahkan hasil dan menafikan pendapat Intan Sarah apabila Romel tidak membuang masa mencetak jaringan pada babak masa kecederaan dan golnya membantu Malaysia meraih satu mata berharga.
Kritikan yang dibuat oleh Intan Serah itu mencuri tumpuan penyokong tanah air apabila terdapat peminat yang tidak bersetuju dan mengecam tindakan pemain wanita kebangsaan itu.
Dalam pada itu, enggan memperbesarkan masalah, Intan Serah tampil memohon maaf kepada semua peminat tanah air di media sosial.
Menerusi satu hantaran di laman X, Intan Serah mengakui tindakannya itu adalah disebabkan emosi yang tidak dapat dikawal olehnya.
"It was the heat of emotions that controls me, hence the tweet during the game. sorry for what I said. But saya akui salah saya, and saya hormat everyone especially players, and coach KPG. Goodluck and all the best for next game!," ciapnya berserta gambar bersama pengendali kelahiran Korea Selatan itu.
Susulan keputusan ini, Korea Selatan kekal di kedudukan kedua Kumpulan E dengan lima mata, manakala Malaysia memperoleh satu mata. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram