Piala Asia: Palestin bangkit dari runtuhan perang


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Rabu, 24 Jan 2024

Palestin mencipta sejarah layak buat pertama kali ke pusingan kalah mati Piala Asia. — Agensi

Bola Pegun kembali menemui pembaca dengan mengalihkan tumpuan ke aksi Piala Asia 2023 di Qatar. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka pasukan-pasukan mengatasi pelbagai rintangan dalam memburu kejayaan.

SKUAD Palestin tiba di Qatar pada awal bulan ini dengan keluhan dan kerisauan terpaksa berlatih dan bermain tanpa peluang untuk mengetahui nasib keluarga mereka di tanah air yang dibedil dan dibom tentera Israel saban hari tanpa mengira malam atau siang dengan angka korban yang tidak pernah terlihat sebelumnya.

Namun, di sebalik kepayahan itu, mereka menundukkan Hong Kong 3-0 dalam aksi terakhir Kumpulan C Piala Asia 2023 di Stadium Abdullah bin Khalifa malam tadi untuk mengukir sejarah mara ke pusingan 16 buat julung-julung kalinya selepas tiga penyertaan sejak 2015.

“Kami mahu menghantar mesej kepada dunia bahawa kami juga berhak menyertai kejohanan bola sepak utama. Ia bukan setakat penyertaan tapi juga untuk menunjukkan kemahiran yang kami ada sebagai antara pasukan terbaik di benua Asia,” kata kapten Palestin, Musab Al-Battat, dalam sidang media usai perlawanan seperti dilaporkan Al-Jazeera.

Lebih daripada itu, skuad yang digelar Fedayeen itu menyimpulkan kejayaan mereka untuk terus melangkah sebagai menyerlahkan semangat juang dan keberanian rakyat Palestin menghadapi keganasan dan penindasan.

421588022_938753334287418_8270500482400455135_n

Selepas tiga kali mencuba, Palestin akhirnya layak ke pusingan kalah mati Piala Asia. — Facebook/AFC Asian Cup

Sejak serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober tahun lalu yang mencetuskan serangan balas rejim Zionis, lebih 23,000 orang di Gaza dilaporkan menjadi korban.

Tentera musuh didakwa turut menyasarkan fasiliti bola sepak di Palestin. Gaza dan Tebing Barat mempunyai liganya sendiri tapi tiada satu pun perlawanan dapat dilangsungkan sejak Oktober. Jika pun ia selamat untuk bermain, mereka tiada tempat untuk melakukan itu.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan Palestin, Makram Daboub, seorang warga Tunisia yang dilantik pada 2021, langsung tidak diberi permit untuk memasuki Gaza bagi menemui pemain atau menyaksikan perlawanan.

Pemain-pemain yang terpilih dalam skuad kebangsaan dari Gaza dan Tebing Barat pula tidak berhenti-henti merungut mengenai kelewatan disengajakan di pos-pos pemeriksaan Israel setiap kali mereka mahu menyertai latihan.

Bagi aksi kelayakan Piala Dunia menentang Lebanon dan Australia pada November lalu yang dilangsungkan di venue berkecuali, pemain-pemain dari Gaza tidak dapat menyertai pasukan. Sejak itu, skuad kebangsaan berpangkalan di luar Palestin bermula di Jordan dan kemudian berpindah-randah.

“Persiapan bagaimanapun berjalan baik. Pada 12 Disember, kami bermula dengan kem latihan pertama di Algeria, disusuli kem kedua di Arab Saudi. Tumpuan utama ialah aspek fizikal pemain.

“Pada 2 Januari, kami bergerak ke Qatar dan di sinilah bermulanya persiapan sebenar kami untuk Piala Asia. Kami telah bermain dua perlawanan memanas badan, yang pertama tewas 0-1 kepada Uzbekistan dan kemudian seri 0-0 dengan Arab Saudi,” kata Daboub.

Tapi, perjalanan mereka tidak semudah diharapkan. Sebelum sepak mula pertemuan dengan Hong Kong itu, Palestin ketinggalan di belakang Iran yang memimpin kumpulan dengan tiga kemenangan serta Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang berkelebihan perbezaan jaringan.

Penyokong Palestin yang meriuhkan suasana di stadium awalnya tidak terlalu yakin tapi kesudahannya dikejutkan oleh persembahan Fedayeen yang memukau ramai dengan menembusi pintu gol Hong Kong sebanyak tiga kali.

BACA LAGI: [VIDEO] Saya pernah berada dalam situasi itu — Mat Yo

“Ia mengisahkan kesungguhan dan kepercayaan kami selain keyakinan kepada Tuhan (sebagai rakyat Palestin) untuk pasukan kami kembali bangkit dengan cara ini,” seorang penyokong, Linah al-Fatah, dipetik berkata.

Al-Battat menambah bahawa skuad Palestin tiba ke kejohanan ini dengan objektif jelas untuk mengembalikan senyuman di wajah penyokong mereka.

Ia sebagai balasan kepada motivasi yang disuntik penyokong selepas Palestin tunduk 1-4 kepada Iran dalam perlawanan sulung pada 14 Januari. Perlawanan kedua menyaksikan persembahan lebih baik untuk mereka bangkit daripada ketinggalan bagi mengikat UAE 1-1.

Berdepan Hong Kong, skuad Fedayeen itu yang mendapat sorakan bersemangat kira-kira 500 penyokongnya, mengasak lawan untuk kesudahannya dihadiahkan tiga gol menerusi Oday Dabbagh (m-12, 60) dan Zaid Qunbar (m-48).

“Ribuan penyokong kami di Qatar dan berjuta-juta lagi yang menjadi pelarian di negara asing adalah motivasi nombor satu buat kami,” tambah Al-Battat, yang pasukannya hampir pasti akan berdepan tuan rumah Qatar dalam pusingan 16.

BACA LAGI: ‘Bagi dia banyak minit’, Selangor diminta gilap bakat lepas lanjut kontrak ubi muda

420709691_996907828458789_8252361719181804009_n

Saleh (tengah) dan rakan sepasukannya meraikan kejayaan Palestin bersama penyokong mereka. — Agensi

Prospek itu mungkin menggusarkan tetapi jika ada satu perkara yang Palestin telah tunjukkan sepanjang 13 hari kejohanan ini dan perang selama 110 hari di Gaza setakat ini ialah mereka tidak akan mengalah tanpa melawan.

Bagi pemain pertahanan kelahiran Gaza, Mahmoud Saleh, wisel penamat perlawanan dengan Hong Kong malam tadi dirasakannya sangat beremosi. Pemain berjersi nombor 5 itu rebah ke padang, menekup mukanya di permukaan rumput dan menangis tanpa dapat dikawal.

Saleh adalah antara segelintir pemain dari Gaza yang tidak pernah berhenti merisaukan keselamatan keluarganya di sebalik tuntutan untuk berlatih dan bermain tanpa sebarang khabar berita daripada mereka.

Tapi sekurang-kurangnya kemaraan mereka – atas dasar antara pasukan di tangga ketiga terbaik dengan empat mata – menghadirkan satu lagi peluang untuk lagu kebangsaan Palestin berkumandang di stadium dan bendera kecil negara itu terus dipertunjukkan penyokong.

Lebih penting lagi, semangat juang dan keberanian rakyat Palestin dapat terus dipertonton kepada masyarakat dunia.

“Kejayaan dalam Piala Asia akan memberi makna besar kepada pasukan ini dan rakyat Palestin,” kata Daboub.

“Kami mahu menghantar mesej kepada dunia bahawa di Palestin, terdapat rakyatnya yang berhak kepada hidup lebih baik, kasih-sayang dan nikmat kebebasan.” — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram