PENYOKONG Harimau Malaya pasti menantikan sesuatu keajaiban untuk melihat skuad kebangsaan bangkit daripada kekalahan ke atas Jordan dengan menewaskan Bahrain pada Sabtu.
Kekalahan 0-4 di tangan Jordan itu mengundang pelbagai kritikan daripada pemain ke-12 yang mempersoalkan taktikal 'eksperimen' Kim Pan-gon pada perlawanan pertama Kumpulan E pada Selasa lalu.
Namun begitu, bukan hanya pasukan kebangsaan yang beraksi dalam Piala Asia yang akan menjadi tumpuan seluruh kelab Liga Super untuk menandatangani pemain import baharu pada musim depan.
Majoriti senaraikan 3 pemain realistik berkualiti yang boleh menjadi tumpuan pasukan Liga Super musim depan:
BACA LAGI: Sang Kenari mungkin 'no more import', lain pula ceritanya dengan Penang
1. Ali Adnan (Iraq)
Bekas pemain kelab Itali, Ali Adnan mungkin boleh menjadi antara pemain tumpuan untuk dipancing menyertai pasukan Liga Super musim depan.
Adnan mempunyai pengalaman yang luas di pentas Eropah dan Amerika Syarikat apabila mewakili beberapa pasukan di benua tersebut.
Pemain berusia 30 tahun itu, pernah mewakili Atalanta BC, Udinese Calcio (Itali), Vanucouver (Amerika Syarikat), Vejle BK (Denmark), Rubin Kazan (Rusia) sebelum kembali ke Asia pada tahun lalu.
Adnan yang beraksi di posisi pertahanan kiri mampu beraksi di bahagian pertahanan tengah dan sayap kiri sekali gus memberi banyak kelebihan buat pasukan yang berjaya membawanya ke Liga Super.
2. Mahmoud Al-Mardi (Jordan)
Nama yang tidak asing lagi di Liga Super terutamanya dalam kalangan penyokong Kedah Darul Aman FC, Al-Mardi adalah salah seorang pemain yang berbaloi dibawa semula ke Malaysia.
Kini beraksi dengan Al-Hussein SC di Jordan, Al-Mardi merupakan pemain yang boleh membantu barisan serangan dengan kreativitinya.
Walaupun Al-Mardi lazimnya beraksi di sayap kiri, tetap dia turut kompeten bermain di sayap kanan serta pemain tengah menyerang.
3. Everton Camargo (Hong Kong)
Pemain naturalisasi Hong Kong, Everton Camargo harus menjadi tumpuan kelab-kelab Liga Super apabila melakukan 29 perlawanan dan 24 gol musim lalu bersama Lee Man FC dalam Liga Hong Kong.
Piala Asia merupakan penampilan kedua rasmi Camargo menyarung jersi Hong Kong selepas sebelum ini sudah mewakili negara itu dalam kelayakan kedua Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
Camargo yang beraksi di posisi sayap kanan itu pastinya sesuai untuk pasukan yang mahu menambah kekuatan serangan pasukan.
Ini kerana pemain yang pernah beraksi di Liga Hong Kong selalu berjaya apabila beraksi dalam Liga Super seperti Lucas Silva dan Rufino Segovia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram