[VIDEO] Bek kental Iraq fasih berbahasa Thailand penyuntik semangat Supachai sumbat 2 gol


  • Podium
  • Khamis, 18 Jan 2024

Supachai menjaringkan dua gol menentang Republik Kyrgyzstan untuk membantu Thailand memenangi perlawanan pertama Piala Asia.

THAILAND mempamerkan aksi terbaik selepas penyerang sensasi kelab Buriram United, Supachai Chaided menjaringkan dua gol sekali gus berjaya membantu skuad Gajah Perang menewaskan Republik Kyrgyzstan dengan keputusan 2-0 pada Selasa.

Walaupun pelbagai masalah yang melanda kem pasukan Thailand sebelum terbang ke Qatar berlaku, anak-anak buah Masatada Ishii kelihatan tidak gugup untuk melakar kejayaan pertama di pentas Piala Asia.

Ketiadaan Teerasil Dangda dan Chanathip Songkrasin tidak menghalang Thailand untuk berada di tempat teratas Kumpulan F dan berkongsi mata dengan gergasi Asia, Arab Saudi.

Bukan sahaja penyokong Thailand yang memberikan sokongan penuh kepada pasukan kebangsaan mereka, malah pemain Iraq, Rebin Sulaka turut menjadi individu penting yang meniupkan semangat buat Supachai menjaringkan dua gol.

BACA LAGI: [VIDEO] Misi getir Piala Asia, Shahrul Saad bersedia, Stuart Wilkin 'baik-baik saja' dengan Afiq Fazail

Ini kerana, menerusi video yang dikongsikan All Things Thai Football di laman sosial X bekas pemain pertahanan Buriram United itu memberikan kata-kata semangat buat dua rakan sepasukannya iaitu Supachai dan Suphanan Bureerat.

Apa yang lebih menarik lagi, pemain pertahanan Iraq itu memberikan kata-kata semangat dalam bahasa Thailand dengan penuh lancar.

Untuk rekod, Sulaka pernah beraksi bersama Buriram United pada 2021 sehingga 2023 sebelum berpindah ke Eropah untuk menyertai kelab Sweden, IF Brommapojkarna pada tahun lalu.

Bersama Buriram, Sulaka berjaya membantu pasukan itu menjuarai kesemua trofi kejohanan domestik di Liga Thailand dan berjaya melakukan 71 penampilan satu gol dan satu 'assist'.

Kemasukan Dion Cools di Buriram United sedikit sebanyak menyukarkan Sulaka untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama sekali gus memilih untuk kembali ke Eropah.

Sulaka yang terpilih untuk mewakili Iraq dalam Piala Asia 2023 akan bertemu Jepun dan Vietnam selepas cemerlang membantu Iraq menewaskan Indonesia dengan keputusan 3-1 pada Isnin lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram