[VIDEO] Minta tamat kontrak Tok Gajah lebih awal, 3 kelab sesuai 'lipas kudung Sarawak' pikat Kim Pan-gon


  • Podium
  • Khamis, 18 Jan 2024

Shamie (bawah kiri) pernah mewakili skuad kebangsaan dalam kejohanan Piala AFF. — Facebook/FAM

PEMAIN sayap Sri Pahang FC, Nur Shamie Iszuan memilih untuk tidak kekal bersama skuad Tok Gajah menerusi pengumuman secara rasmi oleh pihak pengurusan Tok Gajah pada Khamis.

Menyertai Pahang dengan kontrak selama dua tahun pada musim lalu, Shamie hanya tampil dalam 13 perlawanan bersama skuad kendalian Fandi Ahmad kerana banyak menghabiskan masa di bangku simpanan musim ini.

Menerusi kenyataan rasmi Pahang, Shamie memohon untuk menamatkan kontrak lebih awal meskipun berbaki semusim lagi bersama Tok Gajah, namun tidak mendedahkan sebab sebenar.

Pemain berusia 28 tahun itu cemerlang bersama Sarawak United ketika musim 2022 sehingga berjaya menarik minat Kim Pan-gon untuk memanggilnya menyertai skuad Piala AFF pada penghujung tahun tersebut.

BACA LAGI: [VIDEO] Gugurkan Morales, masukkan Badak antara 4 perubahan yang boleh dibuat Pan-gon ketika jumpa Bahrain

Shamie Iszuan

Shamie musim ini beraksi bersama Sri Pahang. Facebook/Sri Pahang

Dengan pengumuman rasmi yang dibuat Pahang, pastinya banyak pasukan Liga Super berminat untuk membawa masuk pemain sayap Harimau Malaya ini bagi saingan musim depan.

Antara tiga pasukan yang sesuai untuk mendapatkan khidmat Shamie ialah Kuching City, Perak FC dan Penang FC yang kini dalam proses penstrukturan semula pasukan bagi saingan musim depan.

1. Kuching City

Umum mengetahui Shamie merupakan pemain kelahiran Kuching, Sarawak dan Kuching City mungkin antara pilihan untuk kembali dan berbakti bersama pasukan itu.

Kuching City yang sudah pun memulakan persiapan dengan menandatangani Rodney Celvin itu pastinya memerlukan khidmat pemain berkualiti seperti Shamie untuk bersaing di Liga Super musim depan.

BACA LAGI: '7 tahun membazir masa', Pahang hampir pasti dapat bek kental JDT, Selangor

2. Perak FC

Selepas kecemerlangan Yusri Che Lah membawa Perak FC sehingga melangkah ke pentas separuh akhir Piala Malaysia pastinya mahu diulangi oleh pihak pengurusan musim depan.

Perak yang banyak melepaskan pemain-pemain muda pastinya memerlukan bintang lebih berkualiti untuk bersaing dalam Liga Super musim depan.

Baru-baru ini, Perak juga sudah mengumumkan dua kemasukan pemain baharu iaitu Tommy Mawat Bada dan Azfar Fikri untuk menguatkan pasukan mereka.

3. Penang FC

Selepas melalui musim yang agak hambar, pihak pengurusan Penang FC berjanji untuk bangkit dan menjadi antara pasukan yang mampu bersaing dalam Liga Super.

Penang yang tidak mempunyai pemain sayap berkualiti seperti Shamie pastinya boleh menagih khidmatnya pada musim depan.

Shamie juga pasti mahu mencari pasukan yang boleh memberikannya minit permainan yang banyak untuk kembali ke dalam skuad kebangsaan Harimau Malaya di masa akan datang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram