SELEPAS tujuh tahun mewakili Johor Darul Ta'zim (JDT), Adam Nor Azlin kini semakin menghampiri untuk mengikuti jejak langkah beberapa bekas pemain Harimau Selatan menyertai Sri Pahang FC untuk saingan Liga Super musim depan.
Perkara itu dikongsikan oleh pemerhati bola sepak, T. Avineshwaran menerusi media sosial miliknya pada Selasa.
Menurut ciapan yang dimuat naik oleh T. Avineshwaran, bekas pemain pertahanan kebangsaan itu semakin hampir menyertai Pahang meskipun terdapat beberapa khabar angin dia bakal berhijrah ke Perak.
Adam musim ini banyak beraksi di Piala MFL bersama JDT II sebagai kapten pasukan.
Untuk rekod, Adam musim lalu dia hanya tampil dalam dua perlawanan bersama skuad utama JDT apabila dia banyak beraksi untuk JDT II dalam saingan Piala MFL.
Pemain berusia 28 tahun itu menyertai JDT pada 2017 selepas beraksi cemerlang bersama Selangor FC apabila jurulatih P. Maniam menukarkan posisinya ke pertahanan apabila dia tidak menyerlah sebagai penyerang.
BACA LAGI: Sah tinggalkan Kedah, Bojan Ciger pantas 'dipinang'
Adam menjadi antara individu yang dilepaskan oleh JDT dalam misi untuk satu proses transformasi melibatkan aspek penstrukturan perbelanjaan pasukan tersebut.
Selain Adam, JDT juga melepaskan beberapa pemain lain seperti Leonardo Velazquez, Fernando Forestieri, S. Kunalan dan Hazwan Bakri sekali gus menjimatkan perbelanjaan sehingga 40 peratus bagi memastikan kelangsungan jangka masa panjang kelab.
JDT turut menjadi antara kelab yang melakukan persiapan lebih awal untuk mengharungi saingan liga musim depan apabila sudahpun mengumumkan kemasukan dua pemain import baharu iaitu Jalil Elias dan Francisco Geraldes bagi memperkukuhkan pasukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram