Kem Sabah FC pernah huru-hara angkara 2 orang penting 'ponteng' latihan


  • Podium
  • Khamis, 18 Jan 2024

O'Callaghan (kiri) tiba di kem Sabah FC pada musim 2014 sebelum tiba-tiba 'menghilang' setahun kemudian. — Agensi

KETIKA sesi pra musim berlangsung, pelbagai isu boleh berlaku kepada sebuah pasukan Liga Malaysia (Liga M) sama ada ia membabitkan perebutan pemain mahupun barisan kejurulatihan.

Selain situasi pemain dicaras oleh pasukan lain, ada juga kisah bintang import yang 'ghaib' tanpa sebarang notis walaupun sudah bersetuju untuk kekal dalam perancangan kelab di musim baharu.

Kisah sebegitu rupa pernah berlaku ketika persiapan kem pra musim The Rhinos apabila mereka 'kehilangan' pemain import kelahiran Singapura, Fazrul Nawaz dan pengurus pasukan, George O'Callaghan hampir 10 tahun lepas.

Memetik laporan media tempatan pada 2015, kedua-dua individu penting berkenaan gagal melapor diri ke kem latihan sehingga pihak pengurusan mengambil keputusan untuk memecat mereka.

BACA LAGI: Muncul beraksi pakai bib AFC petanda Sabah jadi destinasi baharu ubi muda Perak

sabah in 2

Barisan pemain Sabah bagi musim 2014/15. — Agensi

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah, Datuk Seri TC Goh ketika itu mengambil alih sebagai pengurus, sementara Justin Ganai pula dilantik untuk mengendalikan Sabah susulan onar yang dibuat pengendali kelahiran Ireland itu.

Fazrul dan O'Callaghan tidak dapat dihubungi dan pihak persatuan terpaksa menggugurkan mereka serta membuat aduan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk tindakan susulan.

"O'Callaghan gagal menggalas tugasan sebagai pengurus dan tidak memberi contoh terbaik kepada pengurusan.

"Dia terpaksa digugurkan kerana gagal dijejaki meskipun memiliki baki kontrak bersama Safa (Persatuan Bola Sepak Sabah) sehingga Disember ini," katanya ketika itu.

Selepas kehilangan Fazrul, Sabah ketika itu hanya menggunakan khidmat tiga import iaitu penyerang antarabangsa Senegal dan Liverpool, El Hadji Diouf, Abdoulaye Diagne Faye dan pemain Libya, Eamon Zayed. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram