[VIDEO] Misi getir Piala Asia, Shahrul Saad bersedia, Stuart Wilkin 'baik-baik saja' dengan Afiq Fazail


  • Podium
  • Rabu, 17 Jan 2024

Wilkin (kiri) dan Afiq (kanan) diturunkan ketika menentang Jordan pada Selasa lalu.

PERTAHANAN negara, Shahrul Saad, sedia diturunkan dalam aksi kedua Kumpulan E, Piala Asia Qatar menentang Bahrain di Stadium Jassim Bin Hamad pada Sabtu ini.

Shahrul dimasukkan sebagai pemain gantian dalam babak kedua ketika Harimau Malaya tewas 0-4 di tangan Bahrain dalam aksi pertama di Stadium Al-Janoub awal pagi Selasa.

Mengakui kecewa dengan keputusan itu, pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) berkenaan bersedia mempamerkan aksi terbaik sekiranya diturunkan Kim Pan-gon menentang Bahrain pada Sabtu ini, lapor Stadium Astro.

Dalam satu wawancara bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Shahrul berkata: "Sudah pasti kekalahan pertama itu agak mengecewakan buat pasukan kerana sudah lama kami menjalani persiapan dan mengharapkan satu persembahan dan keputusan yang baik menentang Jordan.

"Kami kalah bukan kerana tidak beraksi baik cuma pasukan Jordan lebih bersedia dan tahu menggunakan kelemahan yang ada pada pasukan Malaysia.

"Apapun, kami perlu kekal positif dalam baki dua perlawanan ini, tiada jalan lain buat kami dan perlawanan menentang Bahrain amat penting buat kami.

"Kami mengharapkan keputusan yang baik untuk bertahan dalam pertandingan ini.

"Kemenangan adalah perkara utama buat diri saya kerana kami tahu sudah lama kita berusaha untuk sampai ke tahap ini.

"Apabila berada di sini, kami tidak mahu mensia-siakan peluang yang ada.

"Jika diberikan peluang untuk bermain, sudah pasti saya akan memberikan yang terbaik dan kami akan berjuang untuk negara Malaysia," katanya.

BACA LAGI: 'Semua muka suram dan kecewa', riak wajah pemain Harimau Malaya undang kerisauan penyokong

Dalam pada itu, arkitek Harimau Malaya, Stuart Wilkin, kekal percaya dengan gandingannya bersama Afiq Fazail untuk mengetuai jentera tengah skuad negara.

Menjelang aksi kedua Kumpulan E, Piala Asia Qatar menentang Bahrain di Stadium Jassim Bin Hamad pada Sabtu ini, Wilkin berasakan Afiq mampu memberikan sokongan terbaik kepadanya di posisi itu, sekali gus menafikan wujud masalah keserasian sesama mereka.

"Saya fikir kami memiliki hubungan yang baik dan amat mengetahui cara permainan masing-masing.

"Saya fikir ia cuma perlawanan yang sukar untuk memenangi bola dan mengekalkan penguasaan berdepan pasukan yang amat bagus.

"Saya sudah melakukan yang terbaik dan saya pasti dia juga sudah melakukan yang sama, jadi kami perlu mencuba sekali lagi secara berpasukan dan mendapatkan keputusan yang lebih baik dalam perlawanan yang akan datang," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram