ANAK-ANAK buah Kim Pan-gon kini hebat dikecam oleh penyokong-penyokong Harimau Malaya selepas tewas di tangan Jordan 0-4 dalam aksi pertama kempen Piala Asia pada Selasa.
Apa menyedihkan lagi, skuad kebangsaan gagal menjaringkan sebarang gol dalam perlawanan itu sekali gus menjadi wakil benua Asean yang tidak merekodkan sebarang jaringan pada perlawanan pertama itu.
Kekalahan besar di tangan Jordan itu sekali gus menghilangkan harapan penyokong skuad kebangsaan untuk melihat Harimau Malaya melangkah lebih jauh dalam Piala Asia.
Ia kerana lawan skuad kebangsaan selepas ini berada di ranking lebih jauh berbanding Jordan (87) iaitu Bahrain (86) dan Korea Selatan (23).
Melihat suasana kem kebangsaan sepertinya kehilangan sedikit motivasi untuk berhadapan dengan Bahrain, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin melakukan tindakan drastik dengan mengadakan perjumpaan secara tertutup bersama pemain-pemain Harimau Malaya pada Rabu.
Menurut Hamidin, pemain berjanji untuk bangkit pada perlawanan menentang Bahrain pada Sabtu ini.
"Para pemain berjanji untuk bangkit pada perlawanan menentang Bahrain nanti dan sekurang-kurangnya kita perlu mendapatkan mata pada perlawanan tersebut untuk dibawa pulang.
"Kita harap pemain-pemain dapat memberikan saingan yang kuat menentang Bahrain ini dan insya-ALLAH para pemain akan memberikan persembahan sebaik mungkin.
"Sama-sama kita doakan pasukan Harimau Malaya dapat melakukannya, Sabtu ini," katanya.
BACA LAGI: Lepas 'titik' Harimau Malaya, jeneral Jordan tarik perhatian kelab Liga Super
Dalam pada itu, penyokong juga mahu pemain-pemain berjanji bangkit memberikan persembahan terbaik menjelang perlawanan menentang Bahrain di Stadium Jassim Bin Hamad pada Sabtu.
"Sudah-sudahlah ketawakan negara sendiri, negara luar elok 'support' pasukan mereka, kita (penyokong) gelak dan 'kondem', kita tak rasa apa mereka rasa dekat sana," kata Egard Robert.
"'Comeback stronger', berikan yang terbaik. Kalau kalah pun biar kalah melawan, jangan biar pihak lawan pandang negara kita sebagai lubuk dapatkan mata," jelas Rizal Shaari.
"Kami nak Harimau Malaya main macam biasa sebelum ini, beri saingan dan buat yang terbaik," ujar Andika Tirana.
"Misi hidup mati lawan Bahrain, menang ada peluang, seri ada harapan, kalah boleh pulang," luah Musa Ismail. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram