BUKANLAH kejohanan besar namanya jika tidak diwarnai dengan adegan kontroversi. Demikianlah yang terjadi dalam saingan Piala Asia 2023 apabila pengadil seolah-olah tidak perasan insiden terjahan keras pemain Lubnan ke atas tonggak China.
Dalam perlawanan China menentang Lubnan bagi pusingan kedua Kumpulan A yang berkesudahan seri tanpa jaringan pada Rabu, negara Tembok Besar itu mendapat layanan tidak adil daripada pengadil dari Korea Selatan, Ko Hyung-jin apabila terjahan ala kung fu bek tengah Lubnan, Khalil Khamis tidak diberikan sebarang hukuman.
Pada minit ke-23 perlawanan, Khalil secara tidak sengaja menendang muka Dai Wai Tsun ketika cuba menepis bola sehingga meninggalkan kesan stud but di atas wajah pemain tengah China berkenaan.
Walaupun Wai Tsun dilihat rebah ke tanah dan kelihatan mengerang kesakitan ekoran tendangan berkenaan namun Ko Hyung-jin memutuskan untuk meneruskan permainan tanpa melayangkan sebarang kad.
Khalil Khamis vs Wai-Tsun Dai pic.twitter.com/yESrtIEsuM
— ✙Васьок✙ (@VolkanBolbochan) January 17, 2024
Usai perlawanan yang berkesudahan dengan keputusan seri tanpa jaringan itu, Wai Tsun memuat naik gambar mukanya yang cedera selepas ditendang pemain pertahanan tinggi lampai berkenaan.
Gambar yang dimuat naik di Insta Story peribadinya itu menjadi tular dengan rata-rata penyokong China melemparkan rasa tidak puas hati dengan mutu pengadilan kejohanan tertinggi Asia tersebut.
Skuad kendalian Aleksandar Jankovic kini di kedudukan kedua Kumpulan A dengan mengumpul dua mata sementara Tajikistan dan Lubnan yang mengumpul satu mata masing-masing di tempat ketiga dan keempat.
Selepas ini, China akan berdepan pasukan tuan rumah, Qatar yang muncul pasukan pertama mengesahkan tempat ke pusingan 16 terbaik selepas menundukkan Tajikistan 1-0 pada perlawanan kedua Kumpulan A. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram