Arif Aiman perlu elak badi 3 pemain muda termasuk 'Neymar' Malaysia lepas gagal penuhi potensi


  • Podium
  • Khamis, 18 Jan 2024

Rozaimi Abdul Rahman (depan) dulu pernah diberikan gelaran "Neymar Malaysia". — Agensi

SABAN tahun, bola sepak Malaysia pasti akan melahirkan pemain-pemain muda yang berkualiti dan berpotensi untuk pergi jauh.

Ada di antara mereka yang dilihat cukup berpotensi untuk maju dan menunjukkan kehebatan mereka sejak dari skuad remaja lagi.

Malah, terdapat juga pemain muda yang dianggap sebagai wonderkid seperti Arif Aiman yang berjaya melangkau skuad remaja untuk beraksi dengan pasukan senior kebangsaan.

Akan tetapi, tak semuanya berjaya menghidupkan potensi mereka walaupun pada awalnya dilihat begitu cemerlang. Dalam analisis ringkas Majoriti kali ini, kita akan menyenaraikan tiga pemain negara yang pada mulanya dilihat berpotensi besar tetapi sudahnya menjadi malap.

1. Danial Amier

Nama Danial Amier pernah menjadi sebutan sebagai salah seorang bintang muda negara yang bakal mewarisi pemain seperti Safiq Rahim di bahagian tengah.

Watak Danial begitu penting dalam sejarah skuad Harimau Muda apabila jaringannya menentang Arab Saudi pada aksi terakhir peringkat kumpulan Piala Asia B-23 2018 di China membawa Malaysia ke suku akhir. Sebagai rekod, Malaysia layak ke suku akhir pada penampilan pertama mereka di kejohanan tersebut.

Produk keluaran akademi Frenz United itu begitu menonjol terutamanya sewaktu bersama Felda United hinggakan dia memperoleh perpindahan menyertai Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 2020.

Namun begitu, entah di mana silapnya. Danial seolah gagal untuk bersaing di JDT lalu semakin dilupakan. Kini, dia cuba bangkit dengan berusaha mendapatkan pasukan baharu untuk menghidupkan semula kariernya.

BACA LAGI: Gol Danial Amier pernah bantu Malaysia cipta rekod tewaskan Arab Saudi

DTqtAmHUMAA-I6J

Danial dianggap sebagai permata di bahagian tengah. — Facebook/FAM

2. Hadi Fayyadh

Sebelum bergelar pemain profesional, Fayyadh sudah pun menunjukkan potensi hebatnya apabila merangkul tiga anugerah pada Anugerah Liga Bola Sepak Kementerian Pendidikan 2013. Pada waktu itu, dia merangkul gelaran penyerang terbaik, penjaring terbanyak serta pemain paling berbakat.

Ketika karier profesional, Fayyadh disunting oleh JDT namun itu tidak bertahan lama. Dia kemudiannya mencuri tumpuan apabila menyertai kelab divisyen tiga Jepun, Fagiano Okayama.

Walaupun berada di Jepun hampir empat tahun, namun impak Fayyadh di sana tidak menjadi seperti diharapkan. Dia kemudiannya kembali ke Malaysia dengan menyertai Perak FC dalam projek yang diketuai oleh Datuk Lim Teong Kim.

Fayyadh kemudiannya dipinjamkan ke PDRM FC pada fasa kedua Liga Super dan berjaya membawa pulang gelaran Challenge Cup. Walaupun mempunyai potensi besar di awal karier, namun Fayyadh tidak berjaya menembusi skuad kebangsaan apabila di peringkat senior.

HADI

Fayyadh pernah beraksi di Jepun untuk beberapa musim. — Agensi

3. Rozaimi Abdul Rahman

Ketika kemunculannya, ramai yang teruja dengan bakat yang ada pada Rozaimi dek kerana kelincahan serta ketajaman di pintu gol.

Potensinya cukup menarik dan itu terbukti apabila bersama skuad Harimau Muda, Rozaimi menjaringkan 19 gol dalam 22 penampilan.

ROZAMN (1)

Rozaimi (kanan) cukup cemerlang di awal kariernya. — AFF

Akan tetapi, perjalanan karier Rozaimi terbantut apabila dia mengalami kecederaan akibat kemalangan jalan raya pada tahun 2015. Sejak daripada itu, ia merupakan satu perjalanan panjang buat penyerang tersebut dalam usaha kembali pulih dan tajam.

Kini pada usia 31 tahun, usaha tersebut masih lagi diteruskan walaupun Rozaimi sudah tidak mempunyai kelab. Pasukan terakhir diwakilinya adalah Kedah Darul Aman FC pada 2021. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram