BERITA baik buat Harimau Malaya yang bakal beraksi menentang Jordan pada perlawanan pertama Piala Asia 2023. Salah seorang bintang mereka boleh turun bermain!
Sebelum ini, Harimau Malaya sepertinya mengalami kesukaran untuk turun bertemu Jordan apabila terdapat beberapa pemain mengalami kecederaan.
Salah satunya adalah pemain pertahanan kiri, iaitu La'Vere Corbin-Ong. Pemain tersebut sebelum ini dilaporkan tidak dapat pulih sebelum perlawanan bertemu Jordan dan itu memaksa Kim Pan-gon menggunakan pemain lain seperti Daniel Ting atau Khuzaimi Piee.
Sebelum ini, Corbin-Ong cedera ketika mewakili Johor Darul Ta'zim sewaktu bertemu Terengganu FC pada aksi akhir Piala Malaysia.
Tetapi, kerisauan tersebut boleh diletakkan ke tepi kerana Corbin-Ong berpeluang untuk turun menentang Jordan dan memastikan kemenangan milik Malaysia.
BACA LAGI: [VIDEO] Paluan kompang meriahkan sokongan ekor Harimau Malaya di Qatar
Corbin-Ong (kiri) merupakan pemain penting buat Harimau Malaya. — Agensi
Di media sosial, ciapan daripada Piang Shankly mengatakan yang Corbin-Ong telah pulih daripada kecederaan dan boleh diturunkan jika Pan-gon mahu memilihnya.
"Berita baik dari Doha, Qatar. Corbin-Ong kini cergas dan boleh dipilih untuk perlawanan menentang Jordan," katanya di laman X (Twitter).
Walaupun telah dilaporkan cergas, ia tidak dapat dipastikan sejauh mana tahap kecergasan Corbin-Ong sama ada dia boleh beraksi sebagai kesebelasan utama atau pemain gantian.
Pan-gon perlu melakukan keputusan yang tepat supaya tidak membebankan pasukan berkenaan situasi Corbin-Ong. Jika dia dikerah melebihi kemampuan ketika bertemu Jordan, pemain itu berpotensi untuk kembali cedera dan tidak boleh diturunkan berdepan Bahrain dan Korea Selatan.
Perkhabaran tersebut nyata memberikan booster buat Harimau Malaya. Diharap, nota positif akan berterusan hingga ke tamat perlawanan kelak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram