JORDAN mungkin mempunyai kelebihan dari segi rekod pertemuan dengan Malaysia, namun itu seolah-olah tidak membawa apa-apa erti lagi.
Hal ini kerana, segalanya telah berubah terutamanya Malaysia yang semakin meningkat hasil kendalian Kim Pan-gon.
Itulah yang dirasakan oleh pengendali Jordan iaitu Hussein Ammouta, dia berasakan apa yang berlaku dalam pertemuan lalu dengan Malaysia telah lapuk dek perubahan mendadak ditonjolkan oleh Harimau Malaya.
"Rekod pertemuan lalu mempunyai kepentingannya, tetapi fokus kita sekarang tertumpu pada hari ini. Pasukan-pasukan kini telah menunjukkan peningkatan, termasuklah Malaysia.
"Kami menghormati dan menghargai setiap evolusi yang ditunjukkan oleh setiap pasukan. Persembahan kami tidak akan berdasarkan rekod sebelum ini.
"Walaupun kami ada menang dua perlawanan bertemu Malaysia sebelum ini, kami tetap jangkakan perlawanan yang sukar dan kami bersedia untuk mengharungi cabaran tersebut," ujar Ammouta.
BACA LAGI: Harimau Malaya dapat 'booster', Corbin-Ong boleh turun bertemu Jordan
Ammouta tak mahu rekod lampau melekakan Jordan. — X/Jordan FA
Berdasarkan lima pertemuan terakhir, Jordan memegang rekod tanpa kalah menentang Malaysia apabila menang tiga dan seri dua kali. Rekod terbaharu adalah Jordan menewaskan Malaysia 4-0 dalam aksi persahabatan 2021.
Aksi bertemu Malaysia merupakan pertemuan pertama mereka di pentas Piala Asia. Untuk rekod, kedua-dua negara ini cuma bertemu sekali dalam perlawanan kompetitif.
Perlawanan tersebut adalah aksi kelayakan Piala Asia 1988 yang menyaksikan kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan.
Dalam pada itu, Ammouta tetap mempunyai kelebihan dari segi para pemain yang dimilikinya. Hal ini kerana, Jordan mempunyai beberapa pemain yang sedang dan pernah beraksi di Liga Super serta arif dengan bola sepak Malaysia.
Pemain Selangor FC, Noor Al-Rawabdeh serta Fadi Awad yang beraksi untuk PDRM FC boleh menguatkan barisan tengah Jordan. Sambil itu, mereka mempunyai Mahmoud Al-Mardi yang pernah bermain bersama Kedah Darul Aman FC serta Yazan Al-Arab.
Jordan dilihat sebagai pasukan pilihan untuk memenangi perlawanan ini. Namun begitu, Malaysia sentiasa bersedia untuk memberikan kejutan sekali gus mengintai peluang ke pusingan kalah mati. — THE STAR
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram