AKSI divisyen ketiga bola sepak England antara Reading dan Port Vale terpaksa ditangguhkan apabila kira-kira ratusan penyokong bertindak menceroboh padang sehingga memaksa pemain serta staf kejurulatihan pasukan memasuki bilik persalinan.
Dalam perlawanan League One yang berlangsung di Stadium Select Car Leasing, penyokong Reading yang merupakan pasukan tuan rumah berbuat demikian sebagai tanda protes terhadap pemilik kelab, Dai Yongge.
Tindakan tersebut diadakan selepas 16 minit perlawanan merujuk kepada jumlah mata yang dipotong Persatuan Bola Sepak (FA) England akibat isu kelewatan pembayaran gaji sejak beberapa musim lalu.
BACA LAGI: Lebih berminat ke Man City padam hasrat Ratcliffe bawa bintang Perancis ke Old Trafford
Berdasarkan klip yang tular di media sosial, orang ramai pada awalnya bertindak membaling bola tenis ke atas padang yang cukup sinonim dengan tanda protes di Eropah.
Selepas itu, ratusan penyokong bertindak memasuki padang dengan membawa suar berwarna biru serta beberapa helaian kain rentang berserta mesej mendesak usahawan Cina itu untuk menarik diri.
Wherever you are from, we support reading. #readingfc #PUSB.
Fair play to vale fans who travelled to reading today too. #portvale #ReadingProtest pic.twitter.com/hIoYMqsTD2
— The Sky Blue Line (@TheSkyBlueLine) January 13, 2024
Menyedari akan hal itu, pengadil mengarahkan pemain Reading serta Port Vale untuk memasuki bilik persalinan dalam usaha mengelakkan hal tidak diingini berlaku.
Meskipun terdapat usaha daripada pihak pengurusan stadium yang meminta penyokong meninggalkan padang, mereka bertegas dengan misi mereka untuk menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap Dai Yongge.
Tindakan penyokong Reading itu turut menerima sorakan daripada pihak lawan yang mendesak berlakunya perubahan terhadap struktur pengurusan kelab pada masa akan datang.
Jadi, selepas kira-kira sejam protes diadakan, FA England serta kedua-dua pasukan memilih untuk menangguhkan perlawanan League One itu untuk ke satu tarikh ditetapkan.
Suar dan kain rentang merupakan antara barangan yang dibawa ke atas padang. — Agensi
Ketika ini, Reading berada di tangga ke-21 daripada 24 pasukan dalam liga dengan 23 mata dikutip selepas 25 perlawanan dengan empat mata dipotong akibat isu pengurusan.
Dai Yongge tampil menjadi pemilik kelab pada 2017 dalam usahanya membawa kembali kelab tersebut ke Liga Perdana Inggeris (EPL), namun masalah kewangan memberi impak negatif kepada pasukan itu.
Selain berdepan isu kelewatan pembayaran gaji, Reading juga beberapa kali dikenakan tindakan oleh FA England akibat kegagalan membayar cukai dan denda dikenakan.
Prestasi tidak menentu dialami skuad kendalian Ruben Selles itu juga dijangka akan mengheret mereka ke divisyen keempat meskipun beraksi dalam Liga Kejohanan musim lalu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram