Syarikat dalang dibongkar Sanusi didakwa sudah lama ‘buat kerja kotor’, Sang Kenari bukan mangsa pertama


  • Podium
  • Jumaat, 12 Jan 2024

Sanusi menganggap isu rasuah lebih RM6 juta itu adalah tuduhan luar biasa dan 'luar tabii'. — Kedah FA

PERSATUAN Bola Sepak Kedah Darul Aman (KFA) menafikan tuduhan kes penyelewengan atau pecah amanah melibatkan wang bernilai RM6 juta seperti yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Presiden KFA, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, wang berkenaan adalah sebahagian daripada pinjaman dan yuran yang dibayar oleh sebuah syarikat yang berminat untuk memiliki saham dalam Darulaman Football Club Sdn Bhd (DAFC).

“Pada 2020, (syarikat terbabit) telah menyatakan minat untuk memiliki saham DAFC. Atas dasar keterbukaan, rundingan berhubung tawaran pemilikan saham telah berlangsung.

“(Syarikat) bersetuju memberi pinjaman sebanyak RM5 juta yang didepositkan ke akaun KFA pada tahun itu sebagai komitmen bagi pembelian saham DAFC yang bernilai RM30 juta.

“Rundingan seterusnya gagal mencapai kata sepakat setelah KFA mendapati syarikat itu bermasalah dan proses rundingan dihentikan serta-merta,” katanya dalam kenyataan menerusi media sosial rasmi KFA pada Jumaat.

Susulan kerjasama berkenaan tidak berhasil, beliau menyatakan bahawa syarikat itu menuntut KFA membayar balik RM1.3 juta sebagai sebahagian daripada RM5 juta yang diberikan sebelum ini, berdasarkan kemampuan kewangan persatuan itu.

BACA LAGI: CEO MBI Kedah antara 2 ditahan bantu siasatan salah guna kuasa libatkan rasuah lebih RM13 juta

Pada masa sama, Menteri Besar Kedah itu juga menjelaskan bahawa satu lagi syarikat pula muncul dan mendakwa wang RM5 juta tersebut adalah milik mereka dan bukannya syarikat terbabit.

“(Syarikat kedua) yang tidak pernah berurusan dengan KFA juga menuntut wang yang telah diberikan kepada (syarikat terbabit). Surat tuntutan itu disalinkan kepada KFA.

“Memberi sebarang projek berkaitan kerajaan negeri kepada pemiutang atau penyumbang adalah di luar kemampuan dan bukan bidang kuasa KFA. Jadi, pihak yang menipu adalah (syarikat terbabit) dan yang tertipu dengan janji-janji projek adalah Berjaya Corporation.

"(Syarikat terbabit) juga berharap diberikan projek membangunkan litar lumba tetapi penilaian Perbadanan Menteri Besar (MBI) selaku pemaju dan pemilik tanah menunjukkan (syarikat terbabit) langsung tidak mempunyai keupayaan.

"Kedua-dua syarikat tidak mendapat sebarang projek yang diharapkan, walaupun telah memberi pinjaman kepada KFA," katanya.

BACA LAGI: Kes rasuah RM6 juta libat bola sepak Kedah, Sanusi beri keterangan di SPRM

kedah kfa

Sanusi Md. Noor (tengah) bergambar bersama pengurusan KFA. — Agensi

Beliau berkata, tuduhan berkenaan dianggap sebagai luar biasa dan 'luar tabii' kerana tiada pemberian wang atau projek diberikan kerajaan negeri, selain ialah adalah plot untuk mengada-adakan hal yang tidak ada.

Tegasnya, mana-mana pihak yang cuba memberi gambaran bertujuan merosakkan reputasi KFA, presiden atau pegawai-pegawainya berhubung dakwaan rasuah berjumlah RM6 juta itu akan berhadapan tindakan undang-undang.

Kronologi yang dikongsikan oleh Presiden KFA itu bukan hanya menjelaskan keadaan semasa menimpa persatuan berkenaan, malah muncul satu individu mendakwa pernah menjadi mangsa syarikat tersebut.

BACA LAGI: CEO KFA dibebaskan dengan jaminan SPRM, persatuan nafi keterlibatan rasuah

WhatsApp Image 2024-01-12 at 20.23.42

Tangkap layar dakwaan pengguna Facebook tersebut.

Pengguna Facebook, Muhammad Aiman mendakwa, syarikat berkenaan pernah buat 'kerja kotor' ketika menjadi penaja pasukan amatur, Hanelang FC dan Batu Dua (Harini FT) namun masih terselamat.

"Laaa XXXXXXX ke. kahkahkahkahkah memang padan muka lah sebab kamu percaya kat dia. Pernah lah hadap azab dalam hidup masa aku dedahkan penipuan demi penipuan mereka masa mereka sponsor Hanelang, TCFC (Terengganu City FC), Batu Dua FC. Lepas itu cuba ambil Kelantan, Langkawi City hahahah.

"Bukan aku saja terima ugutan, isteri diugut. Lepas itu tuduh aku cytro FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia)/MFL (Liga Bola Sepak Malaysia). Diperli macam-macam lah. Dia tipu orang, gaji tidak bayar, bagi cek palsu bagai.

"Aku pula difitnah saja nak burukkan mereka. Salah seorang yang jadi ejen dia untuk ugut aku dah meninggal dah pun," dakwanya.

Pada musim 2019, Hanelang FC iaitu kelab amatur di Terengganu mengalami tunggakan gaji yang melanda 20 pemain pasukan itu berjumlah kira-kira RM1.1 juta dan ketika itu pasukan berkenaan difahamkan menerima tajaan daripada individu sama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram