
ACARA merejam lembing merupakan salah satu sukan balapan yang sememangnya cukup diminati orang ramai kerana ia menguji pelbagai aspek seseorang atlet, termasuk kekuatan serta ketepatan.
Namun begitu, sukan terbabit boleh dikatakan cukup berbahaya kerana alatan digunakan boleh mendatangkan kecederaan kepada penonton serta mana-mana pihak sepanjang ia berlangsung.
Salah satu insiden yang melibatkannya adalah ketika atlet Finland, Juha Laukkanen bertanding dalam saingan Bislett Games yang diadakan di Oslo, Norway kira-kira 30 tahun lalu.
BACA LAGI: Ketahui Fosbury Flop, teknik yang mengubah sukan lompat tinggi secara total
Selepas membuat larian yang sempurna, dia melepaskan rejaman lembing tersebut dengan cukup baik sehingga ramai teruja dengan prestasi dipamerkannya.
Bagaimanapun, satu insiden cukup mengejutkan terjadi apabila percubaannya itu mengenai tangan seorang pengadil yang berada dalam kawasan permainan berkenaan.
Insiden melibatkan Juha Laukkanen pada 1994.
Meskipun tidak mengalami kecederaan serius, kejadian terbabit mendesak perubahan terhadap undang-undang acara merejam lembing dibuat bagi mengelak perkara sebegitu berulang.
Namun, sikap acuh tak acuh daripada sesetengah pihak menyaksikan insiden melibatkan sukan itu dan Juha berulang pada 1998 dengan ia menjadi lebih serius berbanding sebelum itu.
Atlet yang ketika itu berusia 29 tahun memilih untuk menyertai Festival Sukan Riederich di Jerman meskipun baru beberapa tahun insiden ngeri tersebut terjadi.
Tetapi, keputusan tersebut pastinya memberi tamparan terhadap kariernya apabila salah satu rejamannya mengenai perut seorang pengadil sehingga menyaksikannya terpaksa diberikan pembedahan segera.
Juha sudah tidak terlibat dalam dunia merejam lembing ketika ini. — Agensi
Kedua-dua kejadian melibatkan Juha itu menyaksikan perubahan lebih drastik diambil dengan petugas perlu diberikan pendedahan mengenai langkah keselamatan yang perlu diambil.
Selain itu, mereka juga perlu menghadiri kursus yang akan memberi kesedaran mengenai risiko sekiranya tidak memberikan perhatian penuh sepanjang berada dalam kawasan permainan.
Bagi Juha pula, insiden tidak diingini sebegitu tidak melunturkan cintanya terhadap sukan rejam lembing kerana dia masih bergiat aktif sehingga 2002.
Meskipun tidak pernah meraih kejayaan cukup bermakna, dia yang kini berusia 55 tahun pernah menyertai beberapa pertandingan peringkat global seperti Kejohanan Dunia 2001 dan Kejohanan Eropah 1998 di Hungary.
Bagaimanapun, kejadian terbabit pastinya lebih diingati peminat sukan mencabar itu sekiranya nama atlet terbabit kembali muncul di kaca televisyen. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram