Tak sempat sampai rumah, budak lelaki berbasikal maut dilanggar MPV dekat taman perumahan di Kuantan


  • 112
  • Khamis, 07 Sep 2023

KETIKA kejadian, mangsa difahamkan sedang melintas sebuah jalan untuk pulang ke rumahnya. — Polis Trafik Kuantan

SEORANG kanak-kanak lelaki maut selepas dilanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) ketika menunggang basikal di Kampung Padang Jaya 2, Kuantan, Pahang pada petang Rabu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, ketika kejadian, mangsa, Muhammad Azzim Imni Mohd Faizal, 8, sedang melintas sebuah jalan di taman perumahan terbabit untuk pulang ke rumahnya.

"Apabila sampai di tempat kejadian, ketika MPV sedang bergerak lurus, secara tiba-tiba mangsa yang menunggang basikal melintas dari lorong kiri ke kanan jalan untuk pulang ke rumahnya di Lorong Kampung Padang Jaya 15.

"Disebabkan jarak yang terlalu dekat, pemandu MPV tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa. Akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan.

Wan Mohd berkata, siasatan awal mendapati kenderaan tersebut dipandu oleh seorang wanita berusia 33 tahun yang sedang dalam perjalanan menuju ke Jalan Kampung Padang Jaya 8 untuk ke Sungai Lembing, Kuantan, Pahang.

Beliau berkata, mangsa yang juga murid tahun dua Sekolah Kebangsaan Kampung Padang, Kuantan itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, kira-kira pukul 6.45 petang.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram