Ketahui Fosbury Flop, teknik yang mengubah sukan lompat tinggi secara total


  • Podium
  • Ahad, 22 Okt 2023

Teknik Fosbury Flop tercipta 55 tahun yang lalu dan masih digunakan sehingga hari ini. — Agensi

SUKAN lompat tinggi merupakan sebahagian daripada acara balapan dan padang yang telah dipertandingkan sejak sekian lama.

Acara ini merupakan sebahagian daripada sukan-sukan penting sukan olahraga seperti larian 100 meter, rejam lembing serta lompat jauh.

Tahukah anda? Teknik yang digunakan oleh atlet lompat tinggi pada hari ini sebenarnya telah diasaskan hanya separuh abad yang lalu?

Kali ini, Majoriti akan menceritakan kepada anda mengenai Fosbury Flop yang mengubah wajah sukan lompat tinggi buat selama-lamanya.

Dari kelemahan hadirnya inovasi

Dick Fosbury merupakan insan yang bertanggungjawab mengubah sukan lompat tinggi menjadi seperti yang kita lihat pada hari ini.

Tetapi, tahukah anda? Fosbury sebenarnya mengalami kesukaran untuk menguasai sukan ini ketika di zaman persekolahannya.

Fosbury sering gagal melepasi ketinggian 1.52 meter yang merupakan tahap minima bagi mana-mana sekolah di Amerika Syarikat untuk menguji atlet lompat tinggi mereka.

Hal ini disebabkan, Fosbury gagal untuk menguasai teknik lompatan straddle. Ketika itu, teknik tersebut merupakan cara lazim yang dipakai oleh atlet lompat tinggi.

Teknik straddle adalah cara di mana seseorang atlet akan berlari menuju ke palang dengan melompat sambil menghalakan kaki terlebih dahulu berbanding kepala.

Cara ini akan membuatkan seseorang atlet itu akan mendarat menggunakan kaki diikuti dengan kepala.

Kelahiran Fosbury Flop

Fosbury menyedari dia tidak mampu untuk menguasai teknik tersebut mula mencuba cara yang lain supaya dapat melepasi palang.

Pelbagai teknik lompatan dilakukannya dan dia bereksperimen hingga menjumpai cara yang sesuai.

Hinggalah Fosbury menemui Fosbury Flop, satu teknik dimana dia melawan arus dengan cara lompatan straddle yang digunakan bertahun-tahun.

Berbanding menggunakan kaki, Fosbury Flop menjadikan kepala sebagai anggota badan pertama yang akan mendarat selepas melepasi palang.

skysports-dick-fosbury-high-jump_6087929

Fosbury Flop diasaskan oleh Dick Fosbury. — Agensi

Teknik ini memerlukan pelompat berlari menuju ke palang, kemudiannya memusingkan badan sambil melompat. Dengan pusingan itu, ia membantu pelompat untuk mendarat menggunakan bahagian belakang badan berbanding kaki menerusi teknik straddle.

Fosbury Flop lahir ketika Fosbury masih lagi berada di peringkat kolej. Selepas menunjukkan peningkatan menerusi teknik ini, dia dapat mewakili Amerika Syarikat dalam Sukan Olimpik 1968 di Mexico City, Mexico.

Lompatan mengubah dunia

Bertanding di peringkat tertinggi, Fosbury mempertaruh teknik lompatannya itu dalam misi memperoleh kejayaan.

Teknik itu buat pertama kalinya digunakan pada kejohanan peringkat dunia dan nyata Fosbury Flop mencuri tumpuan kerana membawa kejayaan kepada Fosbury dan Amerika Syarikat.

Fosbury kemudiannya memperoleh pingat emas hasil lompatannya itu. Bukan itu sahaja, dia menang dengan bergaya apabila memecahkan rekod lompatan setinggi 2.24 meter yang merupakan catatan terbaik Sukan Olimpik pada waktu itu.

fosbury flop (1)

Fosbury memenangi pingat emas di Sukan Olimpik 1968. — Agensi

Fosbury Flop kemudiannya mula menjadi popular. Pada Sukan Olimpik 1972 di Munich, Jerman, 28 daripada 40 atlet lompat tinggi menggunakan teknik ini.

Teknik ini semakin popular dari tahun ke tahun dan ia perlahan-lahan menggantikan cara straddle yang akhirnya pupus selepas itu.

Fosbury Flop muncul di sebalik kegagalan seorang atlet namun hasil inovasinya mengatasi kelemahan diri berjaya menghasilkan kejayaan selain mengubah sukan lompat tinggi untuk selama-lamanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram