SEORANG wanita di Amerika Syarikat (AS) berdepan detik mengerikan selepas hampir maut apabila kereta dipandu menjadi sasaran lemparan lembing daripada individu tidak dikenali.
Menurut polis, ketika kejadian, mangsa, Shavone Canales sedang memandu di lebuh raya Interstate 10 dekat San Antonio, Texas sekitar pukul 9.30 malam Isnin apabila senjata tajam itu menembusi cermin depan kenderaannya.
Wanita itu bernasib baik kerana lembing berkenaan tidak mengenai tubuh badannya kerana dihalang oleh stereng kereta.
Shavone berkata, ketika kejadian, dia langsung tidak dapat mengenal pasti suspek yang bertanggungjawab melempar lembing tersebut ke kenderaannya.
"Saya berharap sesiapa yang tahu mengenai perkara ini tampil ke hadapan kerana tindakan yang dilakukan itu sangat berbahaya. Kalau bukan saya yang kena, mungkin ia akan menimpa orang lain, katanya kepada News4 San Antonio.
Shavone turut berkongsikan kemalangan dihadapinya itu di TikTok dengan menunjukkan gambar tombak besar sepanjang 1.5 meter yang menembusi dari cermin hadapan bahagian penumpang dengan bilah tajamnya tertusuk pada stereng kenderaan.
Anggota polis menunjukkan lembing yang dilemparkan mengenai kereta Shavone. — Agensi
Tempat duduk hadapan juga dilihat dipenuhi dengan pecahan kaca yang berderai akibat kemalangan tersebut.
"Ya, saya hampir mati, seseorang melemparkan lembing melalui kereta saya malam ini," katanya.
Menerusi perkongsian video terbabit, ia turut memaparkan seorang pegawai polis yang terkejut dengan insiden berkenaan dan mengeluarkan lembing berkenaan dari kereta milik Sharone.
Anggota yang memegang senjata itu berkata, senjata berkemungkinan berkemungkinan 2.3 hingga 2.7 kilogram (kg).
"Ini boleh membuatkan awak maut," ujar pegawai polis tersebut yang melihat kepada keadaan kemalangan tersebut.
Polis memaklumkan mereka sedang meninjau kawasan itu untuk mendapatkan rakaman kamera keselamatan bagi memburu suspek. Tiada tangkapan dibuat setakat berita ini ditulis. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram