RONALD Smith ataupun lebih mesra dengan sapaan Ron Smith antara nama jurulatih yang pernah mewarnai Liga Malaysia (Liga M), yang mana pengendali berkenaan hadir dengan reputasi tersendiri.
Pengendali kelahiran England itu tidak asing dengan bola sepak Malaysia kerana rekodnya pernah melatih Sabah (1995-1997) dan Johor FC (1998-1999), selain memegang jawatan sebagai pengarah teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dari 1999-2002.
Selepas beberapa tahun meninggalkan bumi Malaysia, bekas pemain Tottenham Hotspur itu kembali ke saingan domestik dengan mengendalikan pasukan Pahang bagi saingan musim 2014.
Apa yang menarik ketika kemunculan semulanya itu, Ronald difahamkan memutuskan untuk melupakan peluang berada di Brazil sempena Piala Dunia 2014 ini untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada misi memburu dua kejuaraan bersama Pahang.
BACA LAGI: Bukan sahaja JDT, Sri Pahang turut dianggap mahu berjimat tapi 2 'lord' masih kekal
Ronald ketika melatih Pahang pada awal musim 2014. — Agensi
Ronald sepatutnya bersama skuad Socceroos pada kejohanan Piala Dunia sebagai penganalisis teknikal dengan Persekutuan Bola Sepak Australia (FFA) namun beliau meletak jawatan untuk menumpukan perhatian kepada tugas dengan Pahang.
“Saya telah memutuskan untuk tidak pergi ke Brazil... Saya pernah ke dua Piala Dunia dan Olimpik sebelum ini jadi saya tidak kisah di terlepas Brazil.
“Saya sepatutnya menganalisis perlawanan Australia di Piala Dunia. Ia tidak begitu menarik seperti berada di padang melatih pasukan jadi saya fikir adalah lebih baik untuk saya kekal di sini,” katanya memetik laporan media tempatan pada 10 tahun lepas.
Namun, Ronald meninggalkan Pahang selepas hanya dua bulan berkhidmat dan keputusan itu dibuat atas persetujuan bersama dengan pihak pengurusan Tok Gajah.
Difahamkan, penamatan kontrak berkenaan disebabkan perbezaan pendapat tentang cara permainan dan pengendalian skuad Tok Gajah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram