BUKAN mudah untuk melihat nama Malaysia mendapat penghargaan dalam dunia permainan video terutamanya bola sepak.
Liga Malaysia bukanlah saingan yang terulung di Asia, apatah lagi di dunia. Disebabkan itu, sukar untuk melihat saingan tempatan kita diletakkan dalam permainan video bola sepak.
Sebelum ini, negara kita pernah melakukan penampilan seperti dalam edisi FIFA 98 serta Harimau Malaya dimasukkan dalam permainan FIFA World Cup 2010. Selepas itu, ia tidak ada lagi.
Kini, wajah bola sepak kita ditonton di seluruh dunia menerusi kemunculan Johor Darul Takzim (JDT). Harimau Selatan sejak beberapa musim telah dimasukkan dalam permainan eFootball atau sebelum ini dikenali sebagai Pro Evolution Soccer (PES).
Kemunculan JDT dalam permainan itu adalah disebabkan penyertaan mereka sebagai salah sebuah kelab yang bertanding di Liga Juara-Juara AFC (ACL).
eFootball yang mempunyai hak perlesenan terhadap kejohanan tersebut mempunyai hak untuk menyiarkan kesemua kelab yang bertanding di ACL dan itu tidak terkecuali buat JDT.
Oleh itu, kesemua nama pemain, jersi dan logo JDT akan terpampang dalam eFootball sama seperti pasukan-pasukan lain iaitu Al-Nassr, Kawasaki Frontale dan Persipolis.
Apa yang menariknya kali ini, dalam video promosi atau trailer untuk eFootball edisi 2024, pihak pembangun permainan ini iaitu KONAMI telah menyelitkan kelab JDT untuk beberapa saat.
Dalam video trailer itu, terdapat kelibat aksi pemain sensasi negara iaitu Arif Aiman sedang cuba melakukan percubaan ke arah pintu gol dalam sebuah perlawanan ACL.
Ia merupakan detik yang menarik dalam bola sepak negara kerana sebelum ini tidak pernah ada kelibat pasukan Malaysia dalam trailer permainan video bola sepak baik eFootball atau EA FC (sebelum ini dikenali sebagai FIFA).
Walaupun beberapa saat sahaja babak JDT dalam video tersebut, tetapi pastinya ia akan buatkan penyokong Harimau Selatan akan teruja untuk bermain eFootball 2024 yang boleh dimuat turun secara percuma.
Untuk rekod, terdapat beberapa pemain JDT sahaja yang mempunyai wajah sebenar dalam eFootball kali ini iaitu Arif, Heberty Fernandes, Safawi Rasid, Matthew Davies dan La'Vere Cobrin-Ong. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram