DALAM sukan, selain daripada jenis permainan serta atlet yang bertanding, terdapat satu watak yang amat penting iaitu pengulas.
Pengulas bertindak memberikan gambaran serta ulasan tentang apa yang terjadi. Dengan mengadunkan lenggok bahasa puitis serta terma-terma teknikal mengenai sukan tersebut, pengulas akan memastikan penonton tidak bosan melihat aksi yang dilangsungkan.
Itulah tugas yang perlu dilakukan oleh Aiman Roshizam, sebahagian daripada generasi baharu pengulas sukan di Malaysia di samping nama-nama lain iaitu Wan Khairil Azwa, Syafiq Asyraf Zulkarnain dan Aizuddin Nizam Shah.
Aiman hanya mula mengulas perlawanan bola sepak secara amatur pada 2018. Selepas daripada itu, bakatnya mula dipandang dan pelbagai peluang diberikan kepadanya untuk menonjolkan kehebatannya mengulas perlawanan. Dari saingan Malaysian Premier Futsal League hinggalah Liga Premier pada 2021, Aiman telah berjaya kuasai dengan baik.
Kemuncaknya adalah pada 2022 apabila Aiman dilamar oleh Astro Arena. Tidak disangka oleh pemuda dari Pulau Pinang ini yang dia akan mengulas perlawanan akhir Piala Dunia untuk ulasan bahasa Melayu. Padanya, itu adalah kemuncak bagi karier seseorang pengulas.
Selepas itu, timbul persoalan dalam diri Aiman mengenai sasarannya? Mustahil untuknya berasa selesa walaupun baru setahun jagung bergelar pengulas bola sepak di Malaysia. Oleh itu, Aiman memilih untuk kembali ke tempat asalnya iaitu e-sukan.
Aiman ketika di Sukan Asia Hangzhou 2023. — Aiman Roshizam
Ketika berusia 20 tahun, e-sukan merupakan petak pertama Aiman dalam karier sebagai pengulas. Bertindak sebagai 'caster', Aiman merupakan nama besar dalam industri tersebut di Malaysia terutamanya dalam permainan seperti FIFA (kini EAFC) dan Pro Evolution Soccer (kini eFootball).
Cinta Aiman terhadap e-sukan tidak pernah pudar. Namun apabila fokusnya tertumpu kepada tugasan mengulas perlawanan bola sepak, ia telah membuatkan Aiman ketinggalan dalam industri tersebut. Aiman berasakan dia kini telah dipintas oleh rakan-rakan seperjuangan e-sukannya walhal dirinya adalah perintis.
Akan tetapi, satu kiriman mesej telah menyelamatkan Aiman. Pada Julai 2023, Aiman menerima pesanan mesej dari rakannya telah mendapatkan tempat untuknya ke Sukan Asia Hangzhou sebagai pengulas bagi acara e-sukan.
"Waktu itu saya sedang mengulas perlawanan Piala MFL antara Sabah FC dan PDRM FC, ketika mesej itu masuk, saya tergamam hinggakan saya terdiam sebentar ketika siaran langsung masih berjalan," kata Aiman kepada Majoriti.
Mesej itu telah menghidupkan semula karier Aiman dalam e-sukan. Aiman mengaku yang dia gembira suaranya mula diterima rakyat Malaysia kerana mengulas aksi bola sepak, tetapi e-sukan adalah cinta pertamanya.
Di Hangzhou, Aiman ditugaskan untuk mengulas bagi acara EAFC Online. Suaranya didengar bukan sahaja di Malaysia, bahkan seluruh dunia kerana Aiman mengulas untuk world feed. Jadi suaranya boleh didengar di mana-mana.
Aiman mengulas untuk acara EAFC Online di Sukan Asia Hangzhou. — Aiman Roshizam
Sepanjang di Sukan Asia, Aiman terasa dirinya kerdil apabila bersama-sama pengulas lain dari seluruh dunia. Mana tidaknya, rata-rata pengulas yang bertugas pernah muncul di Sukan Olimpik dan UEFA Youth League. Malah, ada di antara mereka pernah berkhidmat dengan stesen penyiaran BBC dan Sky Sports.
Namun itu telah membuatkannya Aiman lebih berani untuk mendekati mereka dan cuba mendapatkan ilmu baharu.
Pengalaman bertemu Jack Zorab, pengulas yang berpengalaman dalam temasya pelbagai sukan dari United Kingdom telah membantu Aiman mendapatkan sebanyak boleh ilmu baharu tentang mengulas.
"Apa yang saya kagum adalah mereka tidak kedekut ilmu. Malah, setiap pertanyaan dijawab dengan baik walaupun soalan itu kelihatan mengarut.
"Saya turut diajak oleh Zorab untuk menyaksikan perlawanan bola sepak antara China dan Bangladesh ketika dia menjadi pengulas," ujar Aiman.
Cara Jack Zorab melakukan nota persiapannya untuk mengulas sesebuah perlawanan. — Aiman Roshizam
Aiman yang menerima jemputan Zorab itu kemudiannya dapat menyaksikan secara dekat bagaimana pengulas antarabangsa melakukan persiapan komprehensif mengenai perlawanan yang bakal diulas.
Pengalaman berada di Hangzhou merupakan satu pencapaian tertinggi dimiliki Aiman dalam kariernya sebagai pengulas. Dia menjadi sebahagian daripada sejarah acara e-sukan yang pertama kali dipertandingkan di Sukan Asia sebagai acara berpingat.
Apa yang dikecapi telah membuatkan Aiman berasa ingin terbang lebih tinggi. Kini, Aiman mahu mencari lebih banyak peluang untuk membawa namanya ke tahap yang lebih hebat berbanding sekarang.
"Saya berharap selepas ini akan ada lebih banyak peluang untuk melakukan ulasan berbentuk 'world feed' baik dalam sukan atau e-sukan.
"Saya yakin dengan tahap penguasaan bahasa Inggeris saya, dan saya yakin saya boleh lakukan," kata Aiman menutup perbualan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram