SERAMAI 26 pemain Harimau Malaya dipilih oleh pengendali pasukan, Kim Pan-gon untuk menggalas tanggungjawab ke cabaran Piala Asia 2023 yang mana menyaksikan gabungan tonggak berpengalaman dan pemain muda sama-sama dalam misi mengharumkan nama Malaysia di peringkat dunia.
Dari 26 orang tonggak itu, seramai lapan orang pemain dipilih untuk mengemudi jentera serangan negara iaitu Darren Lok, Arif Aiman, Faisal Halim, Safawi Rasid, Akhyar Rashid, dah dua bintang naturalisasi, Paulo Josue dan Romel Morales.
Campuran pemain tempatan dan bintang naturalisasi berkenaan membuatkan ramai penyokong percaya bahawa jentera serangan Malaysia kali ini boleh membantu negara mendapatkan mata bagi setiap permainan.
Malah, kekuatan dan kemahiran yang ada pada setiap pemain pilihan akhir ketua jurulatih dari Korea Selatan itu juga diakui oleh bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali.
Legenda bola sepak negara yang juga bekas pemain Selangor FC itu juga memuji kekuatan serangan kali ini apabila beberapa tonggak dari bahagian tengah mempunyai kelebihan untuk turun ke depan membantu penyerang Harimau Malaya.
BACA LAGI: Umpan atau tidak, Harimau Malaya jangan terganggu pengaruh luar — Safee Sali
Arif Aiman dan Faisal dianggap sebagai senjata ampuh Harimau Malaya di Piala Asia. — Facebook/FAM
“Saya rasa banyak pilihan penyerang. Ada kemasukan Romel, Faisal, Arif Aiman, ada Darren. Saya rasa KPG (Kim Pan-gon) dah ada percaturan dia untuk perlawanan, kelebihan tak bergantung kepada seorang penyerang.
“Kita ada Faisal boleh score dan Arif Aiman. Paulo dan Stuart dari tengah boleh score. Kita banyak peluang dengan pemain yang boleh menyerang. Zaman saya lain sebab kita main seorang dan dua penyerang. Sekarang kita ada wing yang boleh main,” katanya kepada pemberita pada Khamis.
Legenda bola sepak negara itu ditemui ketika pelancaran Kad Versi Epik yang menampilkannya dalam permainan video telefon pintar, eFootball di sebuah hotel ibu negara.
Safee mengakui bahawa tidak pernah menyangka untuk menyaksikan Malaysia berhasil menamatkan penantian 42 tahun untuk layak secara merit ke pusingan akhir Piala Asia 2023.
Safee diberi penghormatan sebagai pemain bola sepak pertama di Malaysia untuk mempunyai Kad Versi Epik dalam permainan eFootball.
“Saya tak pernah terfikir dengan tahap Malaysia ini tapi saya bangga. Kita ada talent dan keinginan untuk berjaya sangat tinggi. Tapi kalau tak percaya diri sendiri, memang tak ke mana. Tak terkejut dapat ke Piala Asia. Selepas ini step by step sehingga ke Piala Dunia.
“Saya berbangga dengan HM (Harimau Malaya) kerana berjaya melangkah ke Piala Asia. Masa zaman saya format sukar. Kena lalui grouping stage pastu kelayakan. Jadi banyak kali. Ini peluang terbaik untuk buktikan sesuatu. Kena main dengan tahap berbeza,” jelasnya.
Bagi barisan pertahanan pula diketuai oleh Dion Cools bersama beberapa tonggak utama seperti Matthew Davies, Corbin-Ong, Syahmi Safari, Shahrul Saad, Daniel Ting, Junior Eldstal dan Khuzaimi Piee.
Manakala, tiga penjaga gol yang dibawa ialah penjaga gol Johor Darul Takzim (JDT), Syihan Hazmi, Sikh Izhan dan juga Azri Ghani. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram