PBNS lantik CEO skuad Jang, umum pengganti K. Devan tak lama lagi


  • Podium
  • Jumaat, 12 Jan 2024

Tunku Syed Razman (tengah) bercakap ketika sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa eksekutif pada Jumaat. — Facebook/NSFC

PERSATUAN Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) melantik Faliq Firdaus Muhammad Rom sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Negeri Sembilan FC (NSFC) berkuat kuasa serta merta, selain bakal mengumumkan Ketua Jurulatih NSFC baharu dalam masa terdekat.

Presidennya Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri berkata, pelantikan Faliq, 31, merangkap Setiausaha Eksekutif PBNS, menggantikan Satwant Singh diputuskan dalam Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Eksekutif PBNS Kali Ketiga 2022-2025 baru-baru ini.

Beliau berkata, mesyuarat itu memutuskan akan membentuk satu jawatankuasa pemilihan dibarisi kepimpinan tertinggi PBNS dan pengurusan NSFC bagi memilih pengendali baharu pasukan NSFC menggantikan K. Devan.

"Faliq berpengalaman dalam sektor pemasaran sukan selain merupakan Bendahari Persatuan Pengurusan Industri Sukan Malaysia (PRISM).

"Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Media dan Komunikasi Program Pembangunan Bola Sepak Negara di Majlis Sukan Negara dan Pengurus di Malaysian Grassroots League (MGL),” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

WhatsApp Image 2024-01-12 at 16.32.50

NSFC menutup saingan Liga Super dengan hanya menghuni kedudukan kesembilan dan mengutip sebanyak 27 mata. — Facebook/NSFC

Tunku Syed Razman berkata, menjadi tanggungjawab PBNS melakar hala tuju pasukan profesional utama negeri ini dalam mendepani kancah Liga Malaysia yang kian mencabar.

Beliau berkata, kerjasama dengan semua pihak berkepentingan terutamanya kerajaan negeri terus diperkukuhkan dalam memastikan pembangunan bola sepak dan kecemerlangan pasukan itu dapat ditingkatkan bagi musim akan datang.

Susulan itu, katanya beberapa inisiatif penstrukturan semula akan diperkenalkan di peringkat persatuan melibatkan kedudukan serta hala tuju NSFC dengan menggariskan enam teras utama iaitu pengenalan falsafah bola sepak kelab, pelan perniagaan baharu, penstrukturan semula tangga gaji, pembangunan infrastuktur, pembangunan pasukan belia, dan pemerkasaan hubungan antara pihak berkepentingan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram