PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menaruh harapan kepada pengadil Muhammad Nazmi Nasaruddin serta penolong pengadil Mohamad Zairul Khalil Tan dan Mohd Arif Shamil Abd Rasid melaksanakan tugas dengan jayanya pada Piala Asia 2023 di Doha, Qatar bermula 12 Januari hingga 10 Februari ini.
Hamidin menggesa agar Nazmi dan dua penolongnya itu kekal fokus dan membuktikan pengadil dari Malaysia mampu mengadili perlawanan sebaiknya bagi meningkatkan peluang disenarai pendek untuk ditugaskan pada Piala Dunia 2026 di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat.
"Harapan peminat Malaysia inginkan pasukan kebangsaan kita untuk cemerlang di Piala Asia 2023 ini tetapi peminat dan FAM juga sendiri inginkan Nazmi dan juga dua penolong pengadil ini untuk layak ke Piala Dunia 2026.
"Jadikan pentas Piala Asia 2023 ini sebagai medan terbaik untuk anda bertiga terpilih dalam kalangan 10 set pengadil dari Asia layak ke Piala Dunia 2026 yang peluang untuk mencipta sejarah pengadil Malaysia mengadili perlawanan Piala Dunia lebih cerah kerana penyertaan 48 pasukan buat kali pertama,” katanya menerusi satu video yang dikongsikan kepada media.
Tambahnya lagi, sekiranya Nazmi dan dua penolong pengadil tersebut tersenarai untuk mengadili perlawanan Piala Dunia, perkara itu akan menjadi sejarah dalam bola sepak tanah air berikutan belum ada lagi pengadil dari Malaysia ditugaskan mengadili perlawanan Piala Dunia.
BACA LAGI: Eldstal dedah pemain warisan Harimau Malaya ada kelebihan di Qatar
Pada Piala Asia 2023, Malaysia yang menamatkan penantian 42 tahun untuk layak ke Piala Asia secara merit akan memulakan kempen Kumpulan E menentang Jordan pada 15 Januari, diikuti Bahrain 20 Januari dan juara dua kali Korea Selatan pada 25 Januari ini.
Hanya juara dan naib juara setiap kumpulan bersama empat pasukan ketiga terbaik akan layak untuk pusingan 16 pasukan di Doha.
Ini merupakan penampilan keempat Malaysia dalam Piala Asia selepas layak secara merit pada 1976 di Iran, 1980 di Kuwait dan sebagai tuan rumah bersama pada 2007.
Malaysia tidak pernah mara ke pusingan 16 pasukan terbaik dalam Piala Asia pada tiga edisi sebelum ini.
Sebagai acara pemanas badan, pasukan bimbingan Kim Pan-gon dijadual bertemu Syria bagi perlawanan persahabatan antarabangsa Isnin ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram