SKUAD Harimau Malaya berharap agar perlawanan persahabatan menentang Syria akan meningkatkan persiapan mereka untuk mengharungi cabaran yang cukup sukar menentang Jordan dalam perlawanan pembukaan Kumpulan E saingan Piala Asia di Stadium Al-Janoub pada 15 Januari.
Pemain pertahanan tengah kebangsaan, Junior Eldstal berkata, perlawanan pemanas badan menentang 'Qasioun Eagles' adalah penting kerana ia merupakan cara untuk meningkatkan keyakinan mereka sebelum perlawanan pembukaan mereka.
Jordan berada dalam prestasi baik ketika ini selepas menewaskan juara bertahan Qatar 2-1 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Al-Gharafah pada Sabtu.
Sebahagian sesi latihan skuad kebangsaan menjelang aksi persahabatan berdepan Syria. — Facebook/FAM
Untuk rekod, Malaysia pernah berdepan Syria sebelum ini apabila mengikat mereka 2-2 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Bola Sepak Universiti Chengdu pada 6 September tahun lepas.
BACA LAGI: Saya di sini untuk beri saingan — Junior Eldstal
“Ia adalah ujian. Syria adalah pihak yang sukar. Kami menentang mereka sebelum ini di Chengdu, mengikat mereka 2-2. Tahap mereka sama dengan Jordan. Ia akan menjadi pemanasan yang baik sebelum perlawanan pertama.
“Kami tahu bagaimana pasukan Arab bermain. Mereka memiliki kelebihan fizikal dan pantas tetapi kami mempunyai pelan permainan kami menentang pasukan ini semasa peringkat kumpulan. Dari sekarang sehingga perlawanan pertama, kami perlu berada pada tahap 100 peratus.
“Kami sudah biasa dengan keadaan di sini walaupun cuaca berbeza berbanding Malaysia. Di sini agak sejuk.
"Tetapi kebanyakan pemain warisan adalah dari Eropah, jadi kami sudah biasa dengan cuaca di Doha. Padangnya cantik, cuaca berangin, jadi kami tiada alasan. Kami mahu fokus dan bermain permainan kami," katanya.
Pemain berketinggian 1.91 meter itu juga mempunyai hubungan yang baik dengan pasukan dan dijangka menjadi tonggak pertahanan Malaysia melihat kepada pengalaman dan ketinggiannya.
“Selepas bersara, matlamat saya adalah untuk bermain untuk Malaysia semula. Mendapat peluang ini adalah satu penghormatan.
“Kami mempunyai pasukan yang bagus, saya suka bermain bersama mereka. Kita perlu kekal fokus dan membanggakan Malaysia. Kami juga perlu menikmati perjalanan itu," ujarnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram