Mereka sudah buat yang terbaik, siapa pun boleh jadi pemain utama — Kim Pan-gon


  • Podium
  • Selasa, 09 Jan 2024

Sebahagian aksi persahabatan antara Harimau Malaya berdepan Syria yang berlangsung pada awal pagi Selasa. — Facebook/FAM

SKUAD Harimau Malaya mampu membuktikan kemampuan sebenar mereka selepas berjaya mengikat Syria dengan keputusan 2-2 pada satu aksi persahabatan sebelum membuka kempen Kumpulan E Piala Asia 2023 di Qatar.

Dalam perlawanan tersebut, skuad kebangsaan bermula garang apabila berjaya mendapatkan gol pendahuluan menerusi pemain sayap kebangsaan, Arif Aiman Hanapi pada minit ke-39.

Meskipun mampu mengekang serangan Syria pada babak pertama, benteng pertahanan skuad kendalian Pan-gon bagaimanapun dirobek sebanyak dua kali selepas Pablo Sabbag mengikat kedudukan pada minit ke-70 dan selang empat minit, Malaysia ketinggalan 2-1 menerusi jaringan Ibrahim Hesar.

Enggan tewas dalam aksi persahabatan tersebut, Paulo Josue berjaya menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-78 dan pastinya keputusan positif tersebut dilihat Malaysia sudah cukup bersedia untuk menghadapi cabaran dalam Piala Asia nanti.

WhatsApp Image 2024-01-09 at 10.44.32

Nama Arif Aiman (dua kanan) pastinya terus menjadi tumpuan selepas membantu Harimau Malaya mencetak gol pembukaan aksi persahabatan berdepan Syria. Facebook/FAM

Dalam pada itu, Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Pan-gon berbangga dengan persembahan yang ditampilkan oleh anak-anak buahnya itu.

BACA LAGI: 'Lawan tak akan pandang rendah', seri berdepan Syria buat ekor HM tak sabar nantikan Piala Asia

Menurutnya, perlawanan itu memberikan keyakinan buat para pemainnya sebelum bermulanya kempen Piala Asia menentang Jordan 15 Januari nanti.

"Ia satu permulaan yang baik. Kita dapat bersaing dengan pasukan ranking ke-91 dunia. Saya gembira dengan persembahan pasukan pada babak pertama terutamanya.

“Aksi ini kita beri minit permainan kepada ramai pemain dan membuat banyak pertukaran pada babak kedua. Saya fikir perlawanan ini bukan mudah lebih-lebih lagi bila kita membuat pertukaran pemain.

“Meskipun kita banyak membuat pertukaran pemain tapi saya gembira walaupun kita ketinggalan satu gol, kita berjaya menjaringkan gol dan menjadikan keputusan 2-2.

“Pada akhir perlawanan, kita buktikan kita boleh bersaing dengan pasukan ke-91 dunia. Saya fikir perlawanan ini akan memberi keyakinan kepada kita bila menentang Jordan. Saya fikir kita boleh bersaing dari minit pertama perlawanan,” katanya menerusi satu video yang dikongsikan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Tambahnya lagi, barisan kejurulatihan kebangsaan akan membuat penilaian prestasi pemain pada perlawanan menentang Syria sebelum memutuskan kesebelasan utama yang bakal bermain bertemu Jordan.

"Saya gembira dengan persembahan yang ditampilkan oleh semua pemain. Mereka sudah buat yang terbaik dan siapa pun boleh jadi pemain utama aksi Piala Asia nanti.

"Bagaimanapun, barisan kejurulatihan akan memilih siapa pemain yang terbaik untuk menjadi kesebelasan utama nanti," ujarnya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram