SAMANTHA Cerio, bekas atlet gimnastik yang mewakili Universiti Auburn, Amerika Syarikat meraih populariti dengan cara cukup berbeza gara-gara kecederaan serius yang dialami akibat mengalami kecederaan patah kaki di kedua-dua belah kakinya.
Difahamkan, insiden yang menimpa dirinya berpunca daripada kehilangan keseimbangan dan terjatuh hingga patah kaki.
Menerusi satu perkongsian video di laman X, Cerio yang dilihat mahu membuat lompatan ketika aksi senaman lantai terpaksa melupakan kariernya apabila kedua-dua kakinya mengalami kecederaan serius dalam kejohanan NCAA Baton Rouge.
Selepas kejadian tersebut, Cerio memuat naik gambar di akaun Instagram peribadinya dengan mengatakan bahawa ia merupakan hari terakhirnya sebagai seorang atlet gimnastik.
"Ia adalah malam terakhir saya sebagai seorang gimnastik. Kerjaya saya mungkin tidak berakhir seperti yang saya rancangkan, tetapi tiada siapa yang tahu apa akan berlaku.
"Saya bekerja keras semasa proses pemulihan untuk cuba memastikan saya boleh kembali melakukan perkara harian dan mula berlari dan berjoging. Bukannya saya seorang pelari yang hebat, tetapi ia adalah sesuatu yang saya mampu lakukan," katanya selepas pulih daripada kecederaan.
Laporan menyebut dia terkehel pada kedua-dua lutut, patah tulang tibia dan fibula selain mengalami koyakan di ligamen kaki.
Selepas pulih daripada kecederaan serius tersebut, Cerio berkongsi impiannya untuk berjalan pada hari perkahwinannya bersama pasangan, Trey Wood dan dia mencapai hajat itu tiga bulan kemudian.
Cerio yang berjaya menamatkan pengajian dalam bidang kejuruteraan di Auburn, memulakan kerjaya profesionalnya sebagai jurutera analisis struktur di Syarikat Boeing. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram