NEGERI Sembilan FC (NSFC) melalui musim yang suram pada tahun lepas apabila menutup saingan Liga Super dengan hanya menghuni kedudukan kesembilan dan mengutip sebanyak 27 mata.
Jika dibandingkan dengan musim sebelumnya, skuad Jang meraih 41 mata dan menutup saingan Liga Super 2022 di kedudukan keempat sehingga ada pemainnya seperti Khuzaimi Piee serta Syihan Hazmi berhijrah ke pasukan gergasi.
Ada pihak mendakwa prestai merudum itu disebabkan masalah dalaman iaitu isu tunggakan gaji menimpa skuad Jang sehingga pengendalinya, K. Devan banyak menggunakan pemain dari skuad simpanan di akhir musim.
Namun, ketepikan masalah gaji yang sedang diselesaikan oleh pihak pengurusan itu, Negeri Sembilan sebaliknya dikhabarkan sudah beralih dengan perancangan untuk tampil lebih kuat pada musim 2024/2025.
Skuad Jang difahamkan sedang dalam pertimbangan untuk membawa masuk dua pemain import dari Indonesia bagi musim 2024/25, yang mana akan membantu bahagian serangan dan pertahanan Negeri Sembilan.
BACA LAGI: Hantaran tonggak skuad Jang di IG bukti Negeri Sembilan terpaksa 'pindah'
Sebahagian pemain Negeri Sembilan musim 2023. — Facebook/NSFC
BACA LAGI: Bakal kembali beraksi Liga M, kereta kebal Singapura dikaitkan ke NSFC
Dua pemain tersebut ialah prospek pasukan kebangsaan Indonesia Bawah-23 (B-23) tahun iaitu Bagus Kahfi Alfikri dan Bagas Kaffa Arrizqi yang kini sedang bermain untuk pasukan Liga 1 Indonesia, Barito Putera.
"Negeri Sembilan dikhabarkan ingin mendapatkan kembar dari Indonesia. Difahamkan, skuad Jang ingin meminjam pemain muda Indonesia, Bagus Kahfi Alfikri dan Bagas Kaffa Arrizqi dari Barito Putera.
"Bagus adalah penyerang, manakala Bagas adalah bek sayap. Kedua-duanya adalah sebahagian daripada skuad Bawah 23 tahun Indonesia," kata pemerhati sukan, T. Avineshawaran di platform X pada Ahad.
Sedikit info mengenai Bagus, penyerang berusia 21 tahun itu pernah berkelana di Eropah dengan menyertai pasukan di Belanda, akademi remaja Utrecht selama dua tahun sebelum berhijrah ke kelab Greece, Astera Tripolis.
Sekembalinya ke Barito Putera, bekas penjaring terbanyak Piala AFF 2018 B-16 itu membantu bahagian serangan kelab berekaan dengan mencetak satu gol dan tiga hantaran bantuan dalam 22 penampilannya.
Sementara itu, Bagas pula unggul dalam saingan domestik sejak 2018 dan pada musim ini bersama skuad Laskar Antasari, pemain berketinggian 1.70 meter itu sudah mencetak satu gol serta dua hantaran bantuan dalam 15 kali dia diturunkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram